Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Umrah

Assalamualaikum....sudah hampir dua minggu saya bercuti. Musim cuti membuatkan saya tiba-tiba terfikir untuk melakukan sesuatu. Umrah...tepat sekali, umrah. Saya yakin ramai anda di luar sana yang telah diberikan peluang untuk menunaikan umrah. Syukur, Alhamdulillah...anda merupakan insan yang telah dipilih olehNya. Tahniah saya ucapkan. Bagi mereka yang belum berkesempatan dan belum lagi diberikan rezeki untuk menunaikan umrah, diharap bersabar. Mungkin giliran anda bukan hari ini, tetapi mungkin juga esok atau hari-hari lain yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Saya juga masih belum diberikan kesempatan untuk sampai ke sana. Jauh di sudut hati saya, memang saya sangat teringin untuk pergi dan menunaikan ibadat di sana. Mungkin rezeki saya untuk ke sana belum ada lagi. Mungkin juga masanya belum tiba. Saya harus sabar menunggu. Tiba saat dan ketikanya, sampailah juga saya ke sana, Insya-Allah. Jadi, tugas saya sekarang ialah kumpul duit, kumpul ilmu untuk bekalan sewaktu di sana.
Betapa nikmatnya jika kita dapat sampai ke tanah suci, dapat melawat makam Rasulullah SAW, dapat berdoa di makam baginda, dapat beribadat serta bersujud di dalam Masjidil Haram, dapat menadah tangan dan berdoa di hadapan kaabah. Masya-Allah, alangkah bahagianya hidup ini. Tika jari-jemari ini asyik menaip luahan hati ini, tiba-tiba mata ini berpaling ke arah dinding rumah, termenung seketika tatkala terpandang pada gambar kaabah yang besar tergantung di dinding. Tertanya-tanya dalam hati ini, bilakah agaknya diri ini akan dipanggil ke sana. Semoga dipermudahkan segalanya, Amin.  
            Bagi sesiapa yang telah berkesempatan sampai ke sana, saya harap dapatlah sekiranya kalian berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan perasaan kalian sewaktu berada di sana. Saya ingin sekali mengetahuinya. Sekian sahaja coretan ringkas saya untuk kali ini.
Sekian, Assalamualaikum....




Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan Yang Maha Berkuasa, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku. Aku memohon padaMu Ya Allah, Kau berilah kepadaku kesempatan untuk ke tanah suci sebelum aku menutup mataku buat selama-lamanya. Hatiku ini amat teringin untuk ke sana. Mungkin masaku belum lagi tiba. Aku akan sentiasa sabar menanti. Aku yakin sesungguhnya Engkau telah menentukan segala yang terbaik untukku. Aku bersyukur dengan setiap ketentuanMu. Amin Ya Rabbal A’lamin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan