Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Seuntai Kata, Seindah Bahasa

Assalamualaikum...syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah, kerana Engkau, maka wujudlah ‘Travelog Kisah Hati’. Saya bukannya sesiapa, cuma insan biasa yang tiada bezanya dengan insan lain. Saya bukannya penulis tersohor, saya bukannya pengkarya ternama, malah bukan juga pengarang terkenal, saya bukannya sesiapa. Cuma, saya adalah saya. Saya bukan orang lain...saya adalah saya. Apa yang saya alami, apa yang saya lihat, apa yang saya dengar, apa yang saya hidu, apa yang saya sentuh, dan apa yang saya rasa juga apa yang saya fikir...semuanya saya coretkan di sini. Saya bukannya seorang yang suka meluahkan menggunakan kata-kata. Bagi saya, dengan gaya penulisan adalah lebih sopan. Saya bimbang kalau lidah saya ini menikam jiwa sesiapa. Melalui penulisan, saya akan lebih berhati-hati, supaya jari-jemari saya ini tidak menusuk jantung sesiapa tapi berjaya menyentuh sedikit hati pembaca.
Hidup saya penuh dengan prinsip, tapi, tanpa cita-cita. Setiap apa yang saya lakukan mesti berdasarkan prinsip hidup saya. Saya seorang yang tidak memikirkan soal cita-cita. Saya tidak gemar untuk memasang cita-cita. Cuma, saya meneruskan hidup yang penuh liku ini, dari sehari ke sehari berlandaskan prinsip-prinsip saya. Cita-cita? Untuk apa saya memeningkan kepala untuk memikirkan soal cita-cita, yang belum lagi pasti. Bagi saya, prinsip itu yang akan membawa kepada cita-cita. Hidup tanpa prinsip memang tidak ke mana. Hidup tanpa cita-cita, tidak mengapa, asalkan prinsip kita ada.
Bagi saya, prinsip adalah berkenaan dengan hidup kita yang telah lalu dan hidup kita hari ini. Jadi fokuslah pada prinsip hidup kita. Cita-cita pula adalah tentang hari esok, sesuatu yang akan datang, yang semestinya belum pasti. Untuk saya, mentari esok belum tentu lagi akan terbit, belum tentu lagi akan menyinar seperti hari ini. Jika mentari itu ada sekalipun esok, belum tentu lagi saya akan dapat melihatnya sepertimana hari ini. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Saya harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang telah ditentukan. Sesungguhnya, saya datang daripadaNya, dan saya juga pasti akan kembali kepadaNya.
Sekian, Assalamualaikum....

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kaya. Kau berkatilah, rahmatilah, redhailah perjuanganku ini, Ya Allah. Aku bersyukur kerana dikurniakan kelebihan ini, Ya Allah. Semoga aku dapat memanfaatkannya ke arah kebaikan. Ya Allah, semoga Kau melindungiku daripada kejahatan dan kejahilan. Sesungguhnya, aku ini hanya insan yang kerdil di sisiMu. Amin.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan