Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Mengeluh

A : Untunglah kau, badan kurus. Pakai apa-apa pun cantik. Aku ni apa ada?
       B : Untunglah kau, anak orang kaya. Pergi ‘class’ naik kereta. Aku ni apa ada? Anak orang susah jer
Assalamualaikum. Mengeluh...apakah pandangan anda jika saya katakan kita memang suka mengeluh. Saya tak bercakap mengenai orang lain, tapi diri saya sendiri, tidak pernah lari daripada mengeluh. Masya-Allah. Bila agaknya kita mengeluh? Sebenarnya kita tidak sedar bila kita mengeluh. Apa yang membuatkan kita mengeluh? Semestinya bila kita tidak berpuas hati dengan apa yang kita perolehi. Itu semua cuma pandangan peribadi saya. Saya begitu yakin anda semua di luar sana mempunyai pandangan yang lebih baik daripada saya.
Sedarkah kita apa yang kita perolehi selama ini semuanya adalah pemberian dan anugerah daripada Yang Maha Pencipta. Kita sepatutnya ucapkan Alhamdulillah, bukannya mengeluh. Adakah dengan keluhan anda itu semuanya akan berubah? Adakah semua hajat anda akan tercapai? Adakah dengan keluhan juga harta anda semakin menggunung? Ilmu anda semakin bertambah? Rumah anda semakin besar? Hidup anda semakin bahagia? Atau kekayaan anda semakin melimpah? Masya-Allah, sedarlah yang semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Tidak berhak untuk kita sebagai hambaNya untuk mempertikaikannya lagi. Apa yang kita dapat itu adalah rezeki kita. Terimalah seadanya dengan hati dan jiwa yang lapang, redha dan pasrah seikhlas yang mungkin. Itulah yang sewajarnya kita lakukan.
Tapi, apa yang kita lihat hari ini, berapa ramai yang menerima ketentuan daripada Allah SWT tanpa sebarang keluhan? ‘Result’ tidak mencapai target kita mengeluh...duit tidak cukup kita mengeluh...makanan tidak sedap pun kita mengeluh...soalan ‘exam’ susah lagi kita mengeluh...’lecturer’ cakap nak buat ‘extra class’ pun kita mengeluh.., bila agaknya kita tidak mengeluh..,sepanjang masa kita mengeluh. Itu semua contoh jika kita merupakan seorang pelajar. Di posisi sebagai ibu bapa, lain pula keluhannya. Contohnya, mengeluh bila anak kawan dapat ‘result’ lagi bagus, mengeluh bila lagi nak tukar langsir baru, sofa baru, dan macam-macam lagi keluhan terhadap perkara yang tidak berfaedah. Yang lagi menyedihkan bila ada yang mengeluh terhadap pasangan hidup. Kenapa muka isteri aku penuh dengan jerawat, jeragat? Kenapa isteri aku gemuk macam belon? Kenapa suami aku hitam, tak ‘handsome’? Kenapa suami aku miskin, papa kedana? Kenapa aku dapat suami yang bodoh, jadi kuli orang je? Kenapa isteri aku masak langsung tak sedap, tawar, tak ada rasa langsung? Kenapa itu, kenapa ini...macam-macam kenapa lagi yang kita persoalkan tanpa perasaan malu.  Masya-Allah, cubalah kita beristighfar, ingat Tuhan kita. Cuba juga kita pandang diri kita dalam cermin, tenung wajah kita sedalam-dalamnya, dan berilah sedikit ruang untuk berfikir tentang diri kita. Siapa diri kita sebenarnya? Baik sangat ke kita ni? Cantik sangat ke kita ni? Kacak sangat ke kita ni? Licin sangat ke kulit kita ni? Ramping sangat ke pinggang kita ni? Mancung sangat ke hidung kita tu? Kaya sangat ke kita ni? Besar sangat ke rumah kita? Pandai sangat ke kita? Ada Master? Ada phD? Sejauh mana hebatnya diri kita sebenarnya? Saya bukannya ingin merendahkan darjat ataupun menghina sesiapa. Saya minta maaf jika persoalan yang saya utarakan ini membuat anda terasa hati. Tujuan saya cuma untuk menyedarkan kita semua. Kita sebenarnya tidak berhak sama sekali untuk mempersoalkan semua itu. Kita bukannya sesiapa. Sedarlah siapa diri kita. Saya percaya pada kata-kata, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Jadi, jika kita tidak berpuas hati dengan pasangan yang telah ditentukan untuk kita, cuba kita memperhalusi semula siapa diri kita sebenarnya. Layakkah kita untuk mendapat pasangan yang kita impikan? Tepuk dada tanya iman, tanya amal.
Betapa ruginya hidup kita kalau asyik menghabiskan masa dengan mengeluh. Bukannya boleh merubah semua yang terjadi. Buat penat je mengeluh, membebel tentang takdir hidup kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada hari ini. Bukan semua orang di luar sana yang ada apa yang kita ada, yang dapat apa yang kita dapat. Kita sangat beruntung sebenarnya. Ada hikmah di sebalik apa yang Tuhan tentukan dalam hidup kita. Kenapa Tuhan takdirkan kita dilahirkan dalam keluarga yang tidak kaya? Kenapa bapa kita bukan Tan Sri? Kenapa suami kita bukan Datuk? Mahupun menteri? Kenapa isteri kita bukan usahawan berjaya? Kenapa anak kita bukan selebriti terkenal? Kenapa pula Tuhan tentukan pasangan hidup kita tidak cantik, tidak kacak? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Masya-Allah. Ayuh kita sama-sama perbetulkan iman kita. Dalam hal ini seharusnya kita berfikiran positif dan bersangka baik dengan setiap ketentuan Ilahi. Pada saya, Allah SWT sayangkan kita. Mungkin kita akan bertambah bongkak, angkuh, sombong dengan semua itu. Kerana itu Allah SWT menentukan takdir kita seperti hari ini, tidak seperti yang mana kita inginkan dan yang kita impikan selama ini. Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik untuk seluruh hambaNya. Mungkin kita lebih bahagia dengan kehidupan yang sederhana yang kita perolehi hari ini berbanding dengan kehidupan yang dikelilingi dengan kemewahan. Tiada gunanya juga kalau badan bersalut emas, tapi solat entah ke mana. Tiada gunanya pelajaran tinggi melangit kalau Al-Quran tak tahu nak baca. Tiada gunanya harta tinggi menggunung kalau hidup tidak tenteram. Tiada gunanya kalau santapan lazat penuh di meja kalau satu badan penuh penyakit. Mungkin juga kekurangan dalam hidup kita hari ini akan memasukkan kita ke syurga dan juga mungkin kekayaan yang kita impikan itu bakal menghumban kita ke neraka. Tiada gunanya jika bersuami dan beristerikan orang yang kacak dan cantik, tetapi hidup tidak bahagia. Tiada gunanya jika anak kita selebriti popular tapi sering memalukan keluarga. Allah SWT sayangkan kita. Dia mahu menempatkan kita di syurga, mungkin. Jadi, redhalah dengan setiap apa yang telah ditentukan. Ingatlah, di syurga kelak tidak akan ada sebarang kekurangan lagi dalam hidup kita. Pilihan di tangan kita....taman syurga yang kekal abadi ataupun pentas dunia yang penuh dengan kepalsuan dan sandiwara.
                                               Sekian, Assalamualikum....

Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun. Sesungguhnya aku ini hamba yang sentiasa melakukan kesilapan, Engkau ampunilah dosa-dosa aku sejak dilahirkan hingga ke saat ini. Ya Tuhanku Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, Kau hindarilah aku daripada merungut dan mengeluh dan tidak bersyukur dengan setiap pemberianMu. Kau peliharalah hidup aku sejak aku dilahirkan hinggalah aku menghembuskan nafasku yang terakhir. Kau ambillah nyawaku ketika aku dalam keadaan iman dan Islam. Aku yakin setiap apa yang Engkau tentukan ini semuanya ada hikmah. Aku terima semua ini dengan hati yang ikhlas. Amin Ya Rabbal A’lamin...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan