Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Suami vs Isteri

Sabda Rasulullah SAW : ‘manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam, bukan daripada kepalanya untuk dijunjung diatasnya, bukan juga daripada kakinya untuk dijadikan alasnya, melainkan daripada sisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat pula pada lengannya untuk dilindungi dan juga dekat di hatinya untuk dicintai’.  
            Assalamualaikum...diharap semuanya sihat. Hari ini mungkin adalah hari bahagia untuk anda dan pasangan anda. Mungkin juga beberapa hari lagi. Tahniah. Saya ucapkan Selamat Pengantin Baru. Alhamdulillah jodoh sudah tiba. Syukur kehadrat Ilahi. Diharapkan kalian semua dapat menjaga masjid yang kalian bina bersama-sama. Saya doakan semoga ikatan perkahwinan kalian mendapat keredhaan Allah SWT. Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan hubungan anda dan pasangan anda tetapi juga menghubungkan ikatan antara dua keluarga. Simpulkanlah ikatan itu sekuat mungkin supaya tidak terputus. Jagalah simpulan itu, lindungilah ia daripada hujan dan panas mentari supaya tidak mudah rapuh.
            Yakinlah kita dengan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya, dia adalah jodoh kita yang terbaik. Jika anda adalah suami, jadilah seorang suami yang boleh menjadi pemimpin dan pembimbing kepada isteri anda dan juga anak-anak anda. Tegurlah salah-silap mereka secara berhemah. Bentuklah dan didiklah mereka sepertimana Rasulullah SAW membentuk isteri-isteri dan anak-anak baginda. Tunjukkanlah kepada mereka contoh dan teladan yang baik supaya mereka dapat mencontohi anda. Tika mereka dalam kesusahan, hulurkanlah tangan untuk mereka.....tika mereka sunyi, hiburkanlah hati mereka.....tika mereka ketakutan, dakaplah mereka....tika mereka dalam kegelapan, berilah mereka cahaya.....tika mereka jatuh, sambutlah mereka.....tika mereka sedih, pinjamkanlah bahu anda untuk mereka menangis.....tika mereka menangis, hapuskanlah air mata mereka.....tika mereka sakit, ubatilah mereka.....tika mereka lapar, suapkanlah mereka....tika mereka merajuk, pujuklah mereka.....tika mereka kesejukan, selimutkanlah mereka.....tika mereka gagal, berilah mereka semangat....tika mereka berjaya, ucaplah tahniah.....tika mereka masih bernyawa, sayangilah mereka.....tika mereka mengantuk, dodoikanlah mereka.....tika mereka tidur, kucuplah dahi mereka.....tika mereka dijemput Ilahi, doakanlah mereka. Anda bagaikan pelindung bagi mereka. Lindungilah mereka. Jangan biarkan mereka kesejukan dibasahi hujan, jangan biarkan mereka kepanasan di bawah terik mentari. Jadilah payung untuk mereka tika panas dan hujan. Sesungguhnya, mereka adalah tanggungjawab anda. Anda adalah lelaki, anda adalah suami dan juga bakal bapa kepada anak-anak anda, anda adalah ketua, anda adalah pemimpin, anda adalah pembimbing, anda adalah pelindung, anda adalah penyelamat dan anda adalah penyuluh. Sememangnya besar tanggungjawab anda. Tidak perlu takut dan gentar, anda adalah insan yang terbaik untuk menjadi seorang suami dan bapa. Yakinlah pada kebolehan anda. Jadilah seorang suami dan bapa yang bijaksana dalam mengukuhkan rumahtangga yang telah anda bina. Gunalah akal yang waras tika dirundum dugaan. Selesaikanlah segala masalah yang bakal menimpa dengan bijaksana. Jangan sesekali meletakkan isteri dan anak-anak anda di telapak tangan mahupun kaki kerana itu bakal merosak segala yang anda bina bersama selama ini. Jangan biarkan rasa hormat mereka terhadap anda hilang dek kerana kejahilan anda sendiri.
            Wanita adalah kaum yang lemah. Mereka memerlukan lelaki untuk menjadi pelindung mereka. Jika anda adalah isteri, jadilah isteri yang baik, yang sentiasa menjaga maruah seorang lelaki yang bergelar suami dan juga sebagai ibu yang mithali untuk anak-anak yang dilahirkan dari rahim anda. Suami anda telah sudi memperisterikan anda, jadi hargailah dia. Walaupun pengorbanan dia tidak sebesar mana, tapi penghargaan dan sanjungan itu patut diberikan. Dia adalah suami yang telah diciptakan untuk anda. Walau siapapun dia, terimalah dia seadanya dengan hati yang ikhlas. Setelah anda sah bergelar isteri kepada suami anda, ingatlah anda adalah tanggungjawab dia. Syurga seorang isteri adalah di bawah telapak kaki suami. Sebelum ini, anda adalah tanggungjawab ibubapa anda, dan syurga anda terletak di bawah tapak kaki ibu. Tapi, kini setelah bergelar seorang isteri segalanya telah berubah. Ingatlah seorang isteri wajib mendahulukan suaminya. Jangan sesekali membiarkan anda digelar isteri derhaka. Jadilah anda seorang isteri yang sentiasa taat kepada suami anda, ingatlah jangan sekadar taat di bilik tidur sahaja. Jika dia melakukan kesalahan, tegurlah dia.....jika dia tidak beriman, bimbinglah dia supaya beriman.....jika dia dalam kesesatan, tunjukkanlah dia jalan kebenaran.....jika dia dalam kebingungan, bantulah dia mencari penyelesaian.....jika dia hanyut, jadilah tebing untuk dia berpaut.....jika dia rebah, jadilah tongkat untuk dia berdiri kembali.....jika dia keseorangan, temanilah dia supaya dia tidak kesunyian.....jika dia lemah, genggamlah tangan dia supaya dia kembali kuat.....jika dia marah, peluklah dia supaya dia tenang.....jika dia penat, urutlah badan dia supaya dia selesa.....jika dia rindu, manjakanlah dia supaya dia rasa dihargai.....jika dia tidur, belailah rambut dia dengan penuh kelembutan.....jika dia pergi, ciumlah tangan dia supaya dia rasa dihormati.....jika dia masih bernyawa, cintailah dia seadanya dia.....jika dia dijemput Ilahi, doakanlah semoga dia aman di sana. Sebagai isteri, jangan sesekali kita membuka aib suami kita. Tutuplah aib suami kita sepertimana kita menyembunyikan darah haid kita. Walau sejahil mana, semiskin mana dan seburuk mana sekalipun, dia tetap suami kita, syurga kita tetap di bawah telapak kakinya. Seorang isteri sentiasa berdiri di belakang seorang suami....di belakang seorang lelaki yang bergelar suami akan berdirinya seorang wanita yang bergelar seorang isteri. Masing-masing saling memerlukan. Sokongan daripada isteri adalah tunjang kehebatan seorang suami. Akan goyahlah hidup seorang suami jika tiada isteri di sisi untuk membantu. Tiada lagi kesempurnaan hidup sang suami, hiduplah dia dalam kegelapan jika sang isteri tiada di sisi. Sang isteri ini ibarat pelengkap bagi sang suami.
            Melayari bahtera rumahtangga di lautan kehidupan yang luas ini semamangnya sukar. Pelbagai ombak dugaan yang datang menimpa tanpa sebarang amaran. Semuanya datang tanpa diduga, tanpa dipaksa. Terpulang pada diri kita, sebagai suami dan isteri, macam mana kita mahu menghadapinya. Samaada mahu bersama-sama melebarkan layar merentas lautan dugaan dengan penuh sabar ataupun sama-sama terjun ke dalam lautan biru dan membiarkan diri digulung oleh ombak tsunami. Pilihan semuanya di tangan anda. Tanya diri anda sendiri, sejauh mana anda sayangkan rumahtangga anda.
            Saya bukannya sesiapa, cuma insan kerdil yang tertarik untuk berkongsi pandangan. Kita saling nasihat-menasihati. Segala pandangan saya yang anda rasakan tidak benar dan anda mungkin tidak boleh menerimanya, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf. Dari segi pengalaman, sememangnya, saya akui saya tiada pengalaman. Anda di luar sana mempunyai lebih banyak pengalaman dalam rumahtangga. Saya di sini cuma sekadar ingin berkongsi pendapat.
Sekian, Assalamualaikum

Ya Allah, satukanlah hati kedua-dua suami dan isteri ini seperti mana Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusof dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan Muhammad SAW dan Siti Khadijah. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa seluruh isi alam, aku mohon agar Engkau merahmati rumahtangga yang mereka bina. Kau bahagiakanlah mereka. Kau jadikanlah mereka pasangan yang sabar dalam menghadapi dugaan dalam alam berumahtangga. Kurniakanlah mereka zuriat yang soleh dan solehah yang menjadi penyeri hidup mereka dan yang boleh mendoakan mereka di saat mereka tiada lagi di dunia ini. Semoga ikatan yang mereka bina kekal hingga ke syurga. Amin Ya rabbal A’lamin...
                                               .....Selamat Pengantin Baru.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan