Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Kunfayakun

Dalam ketenangan ada keresahan
Dalam keresahan ada kekalutan
Dan dalam kekalutan adanya Dia
Untuk mengadu dan berharap

Assalamualaikum...Saya adalah seorang pelajar. Seperti orang lain juga, cuti semester ini adalah waktu yang paling baik untuk merehatkan minda. Bak kata ‘supervisor’ saya, manfaatkan waktu cuti ini. Berehat dulu kat rumah, dan kemudian balik semula ke universiti untuk sambung projek. Kemudian, sebelum semester baru bermula, balik rumah lagi untuk kembali merehatkan minda. Supaya apabila bermulanya semester baru nanti, saya boleh datang dengan jiwa dan semangat yang baru. Harap-harap begitulah, Insya-Allah jika diizinkan.
Teringat saya pada malam sebelum saya pulang bercuti. Saya terserempak dengan salah seorang rakan sekelas saya di kafe. Waktu itu, saya sedang melayari internet, mungkin sedang menukar status facebook saya. Dia datang menyapa saya dan kami berbual sekejap. Dia mengeluarkan topik berkenaan dengan keputusan peperiksaan yang bakal diterima tidak lama lagi. Baru sahaja dua hari ‘exam’ habis...hehehe. Saya tak mampu memberikan komen apa-apa, cuma mampu tersenyum.
Bagi saya, sebaiknya kita berserah. Saya yakin, kita tidak akan tenang apabila sering memikirkan apa yang bakal kita terima. Tapi, kita akan tenang apabila memikirkan apa yang telah kita bagi. Saya lebih gemar menjadi pemberi daripada penerima. Apa yang saya tahu, saya telah memberikan yang terbaik dan sehabis baik sepanjang menduduki peperiksaan. Dan saya amat yakin Allah akan memberikan yang terbaik kepada saya, setimpal dengan apa yang telah saya lakukan. Sesungguhnya, Allah sentiasa memberikan kita yang terbaik. Jika Allah memberikan saya 2.00, maka 2.00 adalah yang terbaik untuk saya, dan jika 4.00, maka 4.00 adalah yang terbaik untuk saya. Saya tidak akan sedih dengan apa yang saya akan dapat. Semuanya sudah tertulis. Tugas saya, hanya perlu bersabar menerima apa sahaja kemungkinan yang telah ditentukan olehNya. Jangan lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah. Jadi, tiada istilah ‘result tak ok’ bagi saya, kerana semuanya adalah yang terbaik.
Jika kita yakin dengan kekuasaan Allah, maka kita tidak akan rasa takut untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Memang, saya faham kebanyakan pelajar memang begitu. Saya juga pernah berada dalam situasi sebegitu. Takut pada keputusan peperiksaan. Takut kalau ‘result turun’, takut kalau tidak tersenarai dalam ‘dean list’, takut kawan-kawan yang lain dapat ‘result’ lagi bagus, dan macam-macam lagi ketakutan yang menghantui diri pelajar sekarang. Kerana itulah saya tekankan sebelum ini, jangan terlalu fikirkan apa yang bakal kita terima, semua itu tidak mendatangkan apa-apa faedah. Fikirkan kita telah lakukan yang terbaik dalam hidup kita. Apa yang bakal kita terima adalah dugaan dan cabaran untuk kita, waima 4.00 ataupun 2.00 ataupun apa sahaja.
 Pesanan saya, jangan biarkan hidup kita dihimpit dengan dua kehidupan, iaitu kehidupan masa lalu dan kehidupan masa depan. Kehidupan masa lalu yang dipenuhi dengan kekacauan dan kesedihan serta kehidupan masa depan yang diselubungi dengan sejuta ketidakpastian. Jadi, hiduplah kita di hari ini. Hidupkanlah hati dan jiwa kita untuk hari ini. Lakukan semua perkara sebaik mungkin untuk hari ini. Anggaplah hari ini adalah hari yang terakhir kita diberikan nikmat bernafas. Esok, tiada lagi hembusan nafas dan tiada lagi degupan jantung juga tiada lagi denyutan nadi untuk kita. Semuanya telah kembali kepadaNya...untuk selama-lamanya. Jika anda rasakan anda ingin melakukan kebaikan, usah berfikir lagi, usah bertangguh lagi, bangkitlah dari khayalan mimpi, berbuatlah sejuta kebaikan...seikhlas mungkin. Mungkin itu adalah ibadah terakhir anda, dan mungkin itu akan menjadi penyuluh ketika anda di alam kubur dan juga mungkin itu akan menunjukkan anda jalan ke syurga.
Sesungguhnya, tiada apa yang kekal di dunia ini. Sememangnya kita semua milik Dia. Dia berhak ke atas diri kita dan ke atas semua isi dunia. Innalillahi wainna ilaihira ji’un.....DaripadaNya kita datang, dan kepadaNya juga kita kembali.
Sekian, Assalamualaikum.....
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui, Kau ambillah nyawaku jika sememangnya aku telah layak bergelar ahli syurga. Dan aku mohon, jangan Kau ambil nyawaku jika aku masih belum layak bergelar ahli syurga...Kau berikanlah aku peluang untuk terus beribadat kepadaMu sehingga aku benar-benar layak menjadi ahli syurga. Kau matikanlah aku dalam keadaan beriman. Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan