Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Sekalung Tahniah!!!

Assalamualaikum. Alhamdulillah, malam ini merupakan malam terakhir saya di rumah. Insya-Allah esok, kalau dipanjangkan umur, saya akan memulakan semester baru. ‘Hostel’ merupakan rumah kedua saya, mungkin saya bertambah sibuk semester ini. Entah ada masa atau tidak untuk balik ke rumah lagi. Semalam saya ada dapat mesej, ‘result’ sudah keluar. Dan, berita yang paling menggembirakan ialah ada beberapa orang pelajar Melayu yang dapat ‘result’ gempak. Alhamdulillah.
Anda masih ingat lagi atau tidak tentang seorang rakan saya yang bimbangkan ‘result’ yang akan keluar, walaupun ketika itu baru sahaja beberapa hari ‘exam’ habis. Alhamdulillah, dia adalah salah seorang dalam ‘dean list’. Saya sangat bersyukur, sahabat saya berjaya akhirnya. Saya tumpang gembira untuk dia. Allah SWT sudah tentukan itu adalah rezeki dia. Ada dua orang lagi sahabat saya yang saya dengar berita gembira mereka juga dapat ‘result’ 3.50 above. Tahniah juga saya ucapkan.
Asyik bercakap pasal orang lain, saya pula macam mana? Saya belum ‘check’ lagi sebenarnya. Saya memang tidak gemar ‘check’ guna online. Lebih baik saya tengok slip keputusan nanti. Berapa pun yang saya akan dapat, saya bersyukur. Itu adalah rezeki saya yang Allah SWT sudah tentukan. Apa-apa pun, saya mesti bersabar. Keputusan peperiksaan adalah suatu ujian dan dugaan dalam hidup kita sebagai seorang pelajar. ‘Life must go on’.
Sekian, Assalamualaikum...

Ya Allah, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemberi. Aku bersyukur dengan setiap pemberianMu. Aku yakin itu adalah yang terbaik untuk aku. Aku terima segalanya seadanya. Aku mohon hanya kepadaMu, Engkau jadikan aku sebagai seorang yang penyabar dan dengan tabah menerima segala ujian daripadaMu. Amin Ya Rabbal A’lamin.....

Orang Berbudi Kita Berbahasa

Assalamualaikum. Semoga kita sentiasa berada di dalam lindunganNya. Alhamdulillah, saya masih lagi diberikan ruang dan kesempatan untuk membuat coretan. Minggu ini adalah minggu terakhir untuk saya menghabiskan sisa-sisa cuti semester saya di rumah. Insya-Allah, jika diberikan kudrat dan dipanjangkan usia, saya akan kembali meneruskan pengajian untuk semester terakhir saya. Mungkin nanti saya akan bertambah sibuk dengan kuliah, eksperimen dan juga tesis. Mungkin kekangan masa akan sedikit menghalang saya untuk membuat lebih banyak coretan. Tapi, tidak mengapa, kita cuma merancang dan yang menentukannya ialah Allah SWT. Jadi, selagi saya mampu menggerakkan jari-jemari ini untuk menaip coretan hati saya, akan saya ambil sedikit masa, akan saya berikan sedikit ruang, akan saya cuba memerah otak dan akan saya lakukannya sebaik mungkin. Insya-Allah.
Pernah atau tidak sepanjang hidup anda, apabila anda melakukan kebaikan, menolong sahabat anda dan membantu mereka yang dalam kesusahan, tetapi, mereka membalas budi baik anda dengan cacian, celaan dan juga pelbagai tomahan dan fitnah yang memalukan anda. Masya-Allah. Itulah yang dinamakan roda kehidupan. Kadang-kadang kita di atas dan kadangkala kita di bawah. Tanpa dugaan, tanpa cabaran, tanpa celaan dan cacian daripada orang sekeliling, hidup kita seolah-olah hambar. Aggaplah juga semua cacian itu sebagai penambah perasa dalam kehidupan kita. Sebenarnya, tanpa celaan dan cacian mereka, kita tidak mungkin dapat mengenali orang-orang di sekeliling kita, kita tidak dapat menentukan tahap kesabaran kita, kita juga tidak dapat mengetahui betapa egonya diri kita dan macam-macam lagi perkara yang kita terlepas. Manusia ini telah diciptakan dengan pelbagai ragam. Bergantung pada diri kita sendiri bagaimana untuk berdepan dengan mereka di sekeliling kita. Samaada kita ingin menjadi seperti mereka ataupun ingin menjadi lebih baik daripada mereka. Jika mereka mencela anda dan kemudian anda mencela mereka kembali, maknanya di sini, anda adalah sebahagian daripada mereka, anda juga sama seperti mereka. Jika mereka terjun ke neraka, anda juga terjun ke neraka. Tapi, jika anda sentiasa bersabar dengan cacian mereka dan anda juga memberi nasihat pada mereka serta menunjukkan contoh yang baik, pada saya anda adalah orang yang berjaya. Anda telah berjaya mengeluarkan diri anda daripada kelompok masyarakat seperti mereka. Tahniah saya ucapkan. Syukur, Alhamdulillah.
Jangan sesekali disebabkan orang-orang di sekeliling, jiwa kita menjadi rapuh, hati kita tidak tenang, perasaan kita tidak tenteram, fikiran kita bertambah celaru dan diri kita kian hancur. Lama-kelamaan, kita semakin jauh daripada Yang Maha Pencipta. Tetapi jadikanlah celaan dan cacian mereka itu sebagai obor pembakar semangat untuk kita semakin gagah berlari menuju ke garisan penamat. Jangan sesekali kita berhenti di pertengahan jalan disebabkan mereka. Semestinya mereka mahu melihat kita gagal. Dan tatkala melihat kita rebah tersungkur ke tanah, mereka ramai-ramai akan bersorak dan bertepuk tangan. Jadi, kita jangan biarkan impian mereka untuk melihat kita jatuh menyembah bumi berhasil.
Dan jangan sesekali kita menyesali dengan apa yang telah kita hulurkan pada mereka. Jangan pernah kita dengan lantang mengeluarkan kata-kata seperti ‘menyesal betul aku tolong dia’ atau ‘kalau aku tahulah, aku takkan tolong dia’ atau ‘lepas ni jangan harap aku nak tolong dia’. Masya-Allah. Sedarlah, kita bukannya sesiapa. Pertolongan yang kita berikan itu bukannya besar sangat pun, tidak boleh dibandingkan dengan pertolongan daripada Allah SWT yang kita terima selama ini. Jadi, tidak seharusnya kita bersifat sombong dan takbur dengan pertolongan kita yang tidak seberapa itu. Sudah rezeki mereka untuk mendapat pertolongan kita, halalkanlah segala apa yang telah kita hulurkan pada mereka. Tanpa keizinan daripada Allah SWT, kita tidak mungkin dapat membantu mereka. Setiap apa yang telah kita hulurkan pada orang yang memerlukan jangan sesekali kita mengungkit. Pada saya, ego kita semakin terserlah dan maruah kita seolah-olah berada di tanah jika kita asyik mengungkit.
Jadi, apa yang harus kita lakukan? Adakah kita mahu berhenti daripada menghulurkan pertolongan? Adakah selepas ini, kita hanya mahu melihat kesusahan orang lain dengan senyuman yang lebar? Adakah kita mahu tutup mata sahaja tatkala melihat mereka dalam kesusahan dan kesempitan? Adakah kita sanggup mengatakan ‘padan muka kau’ tatkala melihat meraka meratap dalam kesakitan? Sanggupkah kita wahai sekalian pembaca? Masya-Allah. Ingatlah, sesungguhnya tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah...yang memberi adalah lebih baik di sisi Allah SWT daripada yang menerima. Tidak akan pernah rugi kalau kita menghulurkan pertolongan pada mereka yang amat memerlukan. Malahan Allah SWT akan memurahkan lagi rezeki kita. Mungkin juga orang yang kita bantu itu adalah anak yatim iaitu yang sudah ketiadaan ibu dan ayah, mungkin juga mereka yang tiada tempat bergantung, yang juga sentiasa dianiaya, yang merempat tiada tempat berlindung dan setiap hari hanya memakan sisa-sisa makanan yang kita buang. Tidak salah rasanya kalau kita menghulurkan mereka walau sesuap nasi untuk mereka mengalas perut. Tidak salah juga kalau kita mengorbankan sedikit ruang dalam banglo kita yang besar itu untuk menjadi tempat mereka berteduh. Tidak salah juga kalau kita mengeluarkan sedikit wang simpanan kita yang menggunung itu untuk membeli keperluan asas mereka. Sesungguhnya, tidak akan pernah salah jika kita mahu melakukan kebaikan. Semuanya bergantung pada niat dan nawaitu kita sendiri, sejauh mana keinginan kita untuk membantu sesama umat manusia.
Ingatlah, segala apa yang kita ada pada hari ini adalah untuk sementara sahaja. Semuanya untuk dikongsi. Sebelum Allah SWT mengambil kembali semua hakNya, saya rasa ada baiknya kalau kita menggunakan nikmat wang ringgit dan harta yang melimpah ruah itu ke arah kebaikan. Tiada gunanya kita membazirkan nikmat itu untuk ke pusat-pusat karaoke, untuk menjamu selera di restoren mewah, melabur duit untuk bercuti di negara lain, membeli barang-barang yang tidak berfaedah dan macam-macam lagi pembaziran yang setiap hari kita lakukan. Semuanya untuk memuaskan nafsu kita. Subhanallah. Berkongsilah segala apa yang kita ada hari ini untuk mereka di luar sana yang lebih memerlukan lagi. Ramai orang-orang tua yang merempat di kaki-kaki lima, ramai anak gadis yang terpaksa melacurkan diri untuk mendapatkan duit dan  ramai anak-anak kecil yang masih menadah tangan di tepi-tepi jalan. Mereka amat memerlukan bantuan kita.
Jika kita berada di pihak yang menerima pula, janganlah kita membiarkan diri kita ini dianggap seperti orang yang tidak tahu diuntung...jangan pula kita ini diibaratkan seperti kacang lupakan kulitnya. Jika seseorang itu telah membantu kita, percayalah orang itu sedang mengasihani kita. Dia tidak mahu melihat kita sentiasa dalam kesusahan dan kesulitan. Dia juga mahu melihat kita dapat merasa hidup bahagia dan tidak ada lagi kesempitan hidup seperti dahulu. Latihlah diri kita untuk selalu mengucapkan terima kasih dan sentiasalah mendoakan kebahagiaan dia di dunia dan akhirat. Sememangnya, dia tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Tapi, hari ini, adakah kita menghargai pertolongan dia? Walaupun pertolongan yang diberikan itu sudah bertahun-tahun lamanya ataupun pertolongan itu bagi kita adalah terlalu kecil, tetapi janganlah kita melupakannya. Saya tahu kita ini sememangnya mudah lalai dan alpa, terutamanya pada mereka yang telah menolong kita selama ini. Tapi, cubalah untuk tidak menjadi orang yang tidak tahu membalas jasa. Jadi, sebelum kita menghina, mencela, mencaci ataupun memfitnah seseorang itu, cubalah kita berfikir sejenak, apakah budi yang orang itu telah taburkan pada kita selama ini? Apakah jasa yang telah orang itu sumbangkan pada kita selama ini? Adakah juga kita ini dilahirkan dan membesar kerana orang itu? Adakah juga kita sekarang ini dapat belajar di menara gading dan mendapat segulung ijazah adalah kerana bantuan daripada orang itu? Atau adakah kediaman yang kita jadikan tempat berteduh sekarang ini adalah pemberian daripada orang itu? Dan adakah pakaian yang kita sedang pakai ini dan makanan yang berada di dalam mulut kita itu adalah merupakan sedekah daripada orang itu? Masya-Allah, jika kita sering mencaci dan mencela mereka yang telah membantu kita, di manakah letaknya maruah kita? Sama-samalah kita berfikir.....
           
Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Pengampun, aku ini sememangnya hambaMu yang tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa. Aku memohon keampunan hanya daripadaMu Ya Allah. Hanya padaMu tempat untuk aku memohon dan berharap. Aku bersyukur hanya padaMu atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku selama hidupku ini. Semoga dengan nikmat-nikmat ini aku dapat berbakti kepada orang-orang yang memerlukan. Kau hindarilah aku daripada sifat bakhil, Ya Allah. Jadilah aku ini insan yang pemurah dan sentiasa suka membantu. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa, aku memohon hanya padaMu supaya Engkau sentiasa melindungi aku daripada terdedah kepada benda-benda yang haram, supaya diriku ini sentiasa Engkau lindungi dengan rahmatMu dan lindungilah diriku ini daripada hasutan syaitan dan juga azab api neraka. Aku mohon juga Ya Allah, supaya aku sentiasa dalam redhaMu. Amin, Ya Rabbal A’lamin.....

Sekian, Assalamualaikum

Kehilangan Adalah Sesuatu Yang Menyakitkan atau Menggembirakan?

Assalamualaikum. Alhamdulillah, hari ini kita masih lagi diberikan kesempatan untuk mengecapi nikmat untuk hidup. Hari ini diharap juga kita masih lagi sempat untuk melihat matahari tenggelam seperti hari semalam. Diharap juga esok kita juga diberi masa untuk melihat matahari terbit menyinar di ufuk timur sepertimana hari ini. Insya-Allah, sama-samalah kita berdoa kepadaNya. Mungkin juga hari ini adalah hari terakhir kita, ayuhlah kita sama-sama menikmati semua kehebatan nikmat ini dengan penuh kesyukuran.
Petang ini, angin sepoi-sepoi bahasa membuai hati saya. Jiwa saya terasa tenang, fikiran saya terasa lapang. Tiba-tiba teringat pada si dia. Semoga dia sedang gembira menikmati kehidupan baru sebagai seorang suami. Semoga dia dapat menjadi suami yang boleh menjadi pemimpin dan pembimbing kepada isteri dan anak-anaknya. Walaupun sudah lebih kurang tiga minggu berlalu, tapi masih sukar untuk diri ini melupakanmu. Masya-Allah, sungguh besar dugaanMu Ya Allah terhadapku kali ini. Tapi, aku tidak mungkin akan mengalah. Aku boleh menghadapinya. Insya-Allah.
Pernahkah kalian kehilangan sesuatu atau terasa kehilangan sesuatu yang anda sayang? Apa yang anda lakukan untuk menerima keadaan itu? Adakah anda dapat menerima segalanya atau anda masih lagi cuba untuk berperang dengan takdir? Masya-Allah. Jika anda telah dapat menerimanya dengan hati yang ikhlas, syukur Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah. Anda sememangnya seorang yang kuat. Saya harap juga saya boleh jadi seperti anda. Insya-Allah.
Pada saya, Allah SWT tidak akan sengaja membuat kita kehilangan sesuatu yang kita sayang. Tiada gunanya jika kita menyimpan barang yang kita sayang itu jika ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada diri kita, malahan juga boleh memudaratkan diri kita, kadang-kadang juga boleh menjadi barah dalam badan kita. Jadi, lebih baik Allah SWT mengambil dan menjauhkannya daripada kita. Kita kena percaya, kadang-kadang benda yang kita sayang itu yang boleh menyesatkan kita, meruntuhkan maruah kita, menghancurkan diri kita, menggelapkan kubur kita dan akhirnya menghumban kita ke neraka jahanam. Masya-Allah. Hari ini, kita juga tidak kenal siapa diri kita sekarang dan kita juga jauh dengan Allah SWT, semuanya kerana benda yang kita sayang itu. Subhanallah.

Anda pernah atau tidak mengalami situasi di mana rumah anda dipecah masuk, duit anda dirompak, laptop dan handphone anda dibawa lari orang, kereta anda dicuri dan macam–macam lagi dugaan...pernah atau tidak? Subhanallah. Jika anda berada dalam situasi sebegini, apa yang anda rasakan? Adakah anda redha? Atau anda sekadar bersedih? Atau meluahkannya di ‘facebook’? Atau anda memaki hamun di blog? Anggaplah apa yang telah berlaku itu bukan suatu musibah, tetapi suatu dugaan dan peringatan untuk diri kita. Mungkin sudah ditentukan semua itu adalah rezeki si pencuri dan si perompak itu, bukannya rezeki kita. Mungkin juga semua barang-barang yang kita hilang itu adalah barang-barang yang kita perolehi daripada sumber yang haram. Jadi Allah SWT mahu memelihara dan menghindarkan diri kita daripada sesuatu yang haram. Tugas kita sekarang adalah menadah tangan dan berdoa supaya si pencuri dan juga si perompak itu segera bertaubat, kembali kepada Allah SWT dan halalkanlah apa yang telah mereka ambil. Mungkin mereka amat memerlukan barang-barang tersebut berbanding dengan kita. Yakinlah, apabila hari ini Allah SWT  mengambil sesuatu daripada kita, nescaya, esok Allah SWT akan menggantikan dengan yang lebih baik.
Jika anda berada dalam situasi anda kehilangan ibu bapa atau ahli keluarga anda, apa yang anda rasakan? Jika ditakdirkan Allah SWT telah mengambil mereka lebih dahulu daripada anda, bagaimana perasaan anda? Saya belum pernah mengalami semua itu. Saya takut untuk menghadapinya. Jika ditakdirkan dan telah tertulis semua itu akan berlaku dalam hidup saya, entah, saya sendiri tidak dapat membayangkannya. Anda yang telah mengalaminya, saya yakin ia adalah sesuatu yang amat pahit untuk ditelan, amat perit untuk ditanggung, amat sukar untuk diterima dan sememangnya susah untuk dipercaya. Hidup seolah-olah telah berubah tanpa orang tersayang di sisi sebagai peneman hidup. Hanya Tuhan yang tahu betapa sukar untuk menerimanya, tapi apakan daya, kita ini milik Yang Maha Pencipta. Lumrah hidup manusia sekarang, setelah kehilangan sesuatu, barulah kita terasa kehilangannya, barulah kita rasa mahu menghargainya, barulah kita teringin untuk memberi anugerah kepadanya. Dan macam-macam lagi. Orang yang sudah pergi untuk selama-lamanya tidak mahukan semua itu. Mereka cuma mengharapkan sedekah Al-Fatihah daripada anda. Ayuh, kita sama-sama tadahkan tangan, ringankan mulut untuk membaca Al-Fatihah dan menyedekahkan pada mereka. Tidak perlu untuk menunggu setelah selesai solat, baru teringat untuk berbuat demikian. Tidak perlu juga untuk menunggu Hari Raya, baru nak melawat pusara mereka. Tidak perlu juga tunggu malam Jumaat, baru nak baca surah Yassin. Sekarang juga boleh, di mana-mana saja boleh. Semuanya bergantung pada diri kita. Jika kita sayangkan mereka, kita tidak perlu lagi bertangguh. Lakukanlah sekarang. Ayuh. Mereka sedang menunggu doa-doa daripada kita yang masih lagi hidup ini. Kasihanilah mereka yang sedang lapar dan dahagakan doa-doa kita.
Ingatlah, tidak pernah rugi jika kita menyedekahkan Al-Fatihah untuk mereka yang telah pergi. Biar pun orang tersebut telah banyak menyakitkan dan menyusahkan kita selama hidupnya. Lupakanlah semua yang telah berlaku. Maafkanlah mereka. Hari ini kita berdoa untuk mereka, esok lusa orang lain pula yang mendoakan kita tatkala kita telah pergi. Janganlah kita mengajar diri kita untuk menjadi seorang yang kedekut dalam berdoa. Kalau doa pun kita sudah kedekut, apatah lagi harta. Astaghfirullah. Ingatlah, ‘doa itu senjata orang mukmin’.
Sekian, Assalamualaikum...

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Pengampun. Aku ini hambaMu yang hina, telah banyak aku melakukan dosa selama hidupku. Aku mohon hanya kepadaMu, ampunilah segala dosaku selama hidupku ini. Ampunkan juga dosa kedua-dua ibubapaku, ahli keluargaku, saudara-maraku, guru-guruku yang selama ini telah banyak mendidik aku, jiran  tetanggaku, rakan-rakanku dan juga seluruh umat Islam di dunia ini termasuklah yang telah Kau panggil menghadapMu. Ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah. Kepadamu juga aku memohon Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta, Yang Maha Berkuasa ke atas seluruh isi alam, Kau permudahkanlah mati kami, ringankanlah azab yang bakal kami lalui setelah kami mati, dan Kau matikanlah kami dalam keadaan iman dan Islam. Aku mohon Ya Allah, Kau lindungilah kami dari azab api neraka. Kau bukakanlah kepada kami seluas-luasnya pintu syurga dan Kau tutupkanlah pintu neraka serapat-rapatnya. Kadang-kadang, aku malu kepadaMu Ya Allah. Bermacam-macam aku meminta daripadaMu, aku tidak layak sebenarnya. Tapi, aku takut denganMu Ya Allah, aku takut dengan balasanMu kepadaku. Aku takut pada seksa kubur. Aku juga takut pada azab api neraka. Ya Allah, Kau lindungilah aku dan juga seluruh hamba-hambaMu. Amin Ya Rabbal A’lamin...

Salam Maulidur Rasul

Assalamualaikum...alhamdulillah, hari ini adalah hari yang cerah, cuaca sangat baik. Diharap semua umat Islam di seluruh dunia dapat merasakan ketenangan. Semoga hari ini, kita semua sentiasa berada dalam lindungan Yang Maha Esa. Ayuh, kita sama-sama memperbanyak berselawat ke atas nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.
Allahumma Solli A’la Muhammad
Ya Robbi Solli A’laihi Wasallam


Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenangan

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam hidupku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulallah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulallah Ya Habiballah
Kami rindu padamu

Allahumma Solli A’la Muhammad
Ya Robbi Solli A’laihi Wasallam
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya Tuhan saja yang tahu
Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbingnya kau tentang kami
Syafaatkan kami


Ya Allah, Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih dan Penyayang. Kau ampunkanlah dosa aku dan juga ibu bapa aku serta seluruh umat Islam di dunia ini. Hari ini merupakan hari yang sangat bermakna buat kami seluruh umat Islam, Ya Allah. Kau berilah kami ketenangan, berkatilah hidup seluruh hambaMu Ya Allah. Kau selamatkanlah kami dan seluruh keturunan kami dari azab api neraka. Kau berikanlah kami petunjuk supaya kami tidak lagi hidup dalam kesesatan dunia. Kau permudahkanlah mati kami, Ya Allah. Hanya padaMu kami berserah diri. Dari Engkau kami datang dan kepada Engkau juga kami kembali. Amin Ya Rabbal A’lamin.....

Sekian, Assalamualaikum.....


Suami vs Isteri

Sabda Rasulullah SAW : ‘manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam, bukan daripada kepalanya untuk dijunjung diatasnya, bukan juga daripada kakinya untuk dijadikan alasnya, melainkan daripada sisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat pula pada lengannya untuk dilindungi dan juga dekat di hatinya untuk dicintai’.  
            Assalamualaikum...diharap semuanya sihat. Hari ini mungkin adalah hari bahagia untuk anda dan pasangan anda. Mungkin juga beberapa hari lagi. Tahniah. Saya ucapkan Selamat Pengantin Baru. Alhamdulillah jodoh sudah tiba. Syukur kehadrat Ilahi. Diharapkan kalian semua dapat menjaga masjid yang kalian bina bersama-sama. Saya doakan semoga ikatan perkahwinan kalian mendapat keredhaan Allah SWT. Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan hubungan anda dan pasangan anda tetapi juga menghubungkan ikatan antara dua keluarga. Simpulkanlah ikatan itu sekuat mungkin supaya tidak terputus. Jagalah simpulan itu, lindungilah ia daripada hujan dan panas mentari supaya tidak mudah rapuh.
            Yakinlah kita dengan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya, dia adalah jodoh kita yang terbaik. Jika anda adalah suami, jadilah seorang suami yang boleh menjadi pemimpin dan pembimbing kepada isteri anda dan juga anak-anak anda. Tegurlah salah-silap mereka secara berhemah. Bentuklah dan didiklah mereka sepertimana Rasulullah SAW membentuk isteri-isteri dan anak-anak baginda. Tunjukkanlah kepada mereka contoh dan teladan yang baik supaya mereka dapat mencontohi anda. Tika mereka dalam kesusahan, hulurkanlah tangan untuk mereka.....tika mereka sunyi, hiburkanlah hati mereka.....tika mereka ketakutan, dakaplah mereka....tika mereka dalam kegelapan, berilah mereka cahaya.....tika mereka jatuh, sambutlah mereka.....tika mereka sedih, pinjamkanlah bahu anda untuk mereka menangis.....tika mereka menangis, hapuskanlah air mata mereka.....tika mereka sakit, ubatilah mereka.....tika mereka lapar, suapkanlah mereka....tika mereka merajuk, pujuklah mereka.....tika mereka kesejukan, selimutkanlah mereka.....tika mereka gagal, berilah mereka semangat....tika mereka berjaya, ucaplah tahniah.....tika mereka masih bernyawa, sayangilah mereka.....tika mereka mengantuk, dodoikanlah mereka.....tika mereka tidur, kucuplah dahi mereka.....tika mereka dijemput Ilahi, doakanlah mereka. Anda bagaikan pelindung bagi mereka. Lindungilah mereka. Jangan biarkan mereka kesejukan dibasahi hujan, jangan biarkan mereka kepanasan di bawah terik mentari. Jadilah payung untuk mereka tika panas dan hujan. Sesungguhnya, mereka adalah tanggungjawab anda. Anda adalah lelaki, anda adalah suami dan juga bakal bapa kepada anak-anak anda, anda adalah ketua, anda adalah pemimpin, anda adalah pembimbing, anda adalah pelindung, anda adalah penyelamat dan anda adalah penyuluh. Sememangnya besar tanggungjawab anda. Tidak perlu takut dan gentar, anda adalah insan yang terbaik untuk menjadi seorang suami dan bapa. Yakinlah pada kebolehan anda. Jadilah seorang suami dan bapa yang bijaksana dalam mengukuhkan rumahtangga yang telah anda bina. Gunalah akal yang waras tika dirundum dugaan. Selesaikanlah segala masalah yang bakal menimpa dengan bijaksana. Jangan sesekali meletakkan isteri dan anak-anak anda di telapak tangan mahupun kaki kerana itu bakal merosak segala yang anda bina bersama selama ini. Jangan biarkan rasa hormat mereka terhadap anda hilang dek kerana kejahilan anda sendiri.
            Wanita adalah kaum yang lemah. Mereka memerlukan lelaki untuk menjadi pelindung mereka. Jika anda adalah isteri, jadilah isteri yang baik, yang sentiasa menjaga maruah seorang lelaki yang bergelar suami dan juga sebagai ibu yang mithali untuk anak-anak yang dilahirkan dari rahim anda. Suami anda telah sudi memperisterikan anda, jadi hargailah dia. Walaupun pengorbanan dia tidak sebesar mana, tapi penghargaan dan sanjungan itu patut diberikan. Dia adalah suami yang telah diciptakan untuk anda. Walau siapapun dia, terimalah dia seadanya dengan hati yang ikhlas. Setelah anda sah bergelar isteri kepada suami anda, ingatlah anda adalah tanggungjawab dia. Syurga seorang isteri adalah di bawah telapak kaki suami. Sebelum ini, anda adalah tanggungjawab ibubapa anda, dan syurga anda terletak di bawah tapak kaki ibu. Tapi, kini setelah bergelar seorang isteri segalanya telah berubah. Ingatlah seorang isteri wajib mendahulukan suaminya. Jangan sesekali membiarkan anda digelar isteri derhaka. Jadilah anda seorang isteri yang sentiasa taat kepada suami anda, ingatlah jangan sekadar taat di bilik tidur sahaja. Jika dia melakukan kesalahan, tegurlah dia.....jika dia tidak beriman, bimbinglah dia supaya beriman.....jika dia dalam kesesatan, tunjukkanlah dia jalan kebenaran.....jika dia dalam kebingungan, bantulah dia mencari penyelesaian.....jika dia hanyut, jadilah tebing untuk dia berpaut.....jika dia rebah, jadilah tongkat untuk dia berdiri kembali.....jika dia keseorangan, temanilah dia supaya dia tidak kesunyian.....jika dia lemah, genggamlah tangan dia supaya dia kembali kuat.....jika dia marah, peluklah dia supaya dia tenang.....jika dia penat, urutlah badan dia supaya dia selesa.....jika dia rindu, manjakanlah dia supaya dia rasa dihargai.....jika dia tidur, belailah rambut dia dengan penuh kelembutan.....jika dia pergi, ciumlah tangan dia supaya dia rasa dihormati.....jika dia masih bernyawa, cintailah dia seadanya dia.....jika dia dijemput Ilahi, doakanlah semoga dia aman di sana. Sebagai isteri, jangan sesekali kita membuka aib suami kita. Tutuplah aib suami kita sepertimana kita menyembunyikan darah haid kita. Walau sejahil mana, semiskin mana dan seburuk mana sekalipun, dia tetap suami kita, syurga kita tetap di bawah telapak kakinya. Seorang isteri sentiasa berdiri di belakang seorang suami....di belakang seorang lelaki yang bergelar suami akan berdirinya seorang wanita yang bergelar seorang isteri. Masing-masing saling memerlukan. Sokongan daripada isteri adalah tunjang kehebatan seorang suami. Akan goyahlah hidup seorang suami jika tiada isteri di sisi untuk membantu. Tiada lagi kesempurnaan hidup sang suami, hiduplah dia dalam kegelapan jika sang isteri tiada di sisi. Sang isteri ini ibarat pelengkap bagi sang suami.
            Melayari bahtera rumahtangga di lautan kehidupan yang luas ini semamangnya sukar. Pelbagai ombak dugaan yang datang menimpa tanpa sebarang amaran. Semuanya datang tanpa diduga, tanpa dipaksa. Terpulang pada diri kita, sebagai suami dan isteri, macam mana kita mahu menghadapinya. Samaada mahu bersama-sama melebarkan layar merentas lautan dugaan dengan penuh sabar ataupun sama-sama terjun ke dalam lautan biru dan membiarkan diri digulung oleh ombak tsunami. Pilihan semuanya di tangan anda. Tanya diri anda sendiri, sejauh mana anda sayangkan rumahtangga anda.
            Saya bukannya sesiapa, cuma insan kerdil yang tertarik untuk berkongsi pandangan. Kita saling nasihat-menasihati. Segala pandangan saya yang anda rasakan tidak benar dan anda mungkin tidak boleh menerimanya, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf. Dari segi pengalaman, sememangnya, saya akui saya tiada pengalaman. Anda di luar sana mempunyai lebih banyak pengalaman dalam rumahtangga. Saya di sini cuma sekadar ingin berkongsi pendapat.
Sekian, Assalamualaikum

Ya Allah, satukanlah hati kedua-dua suami dan isteri ini seperti mana Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusof dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan Muhammad SAW dan Siti Khadijah. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa seluruh isi alam, aku mohon agar Engkau merahmati rumahtangga yang mereka bina. Kau bahagiakanlah mereka. Kau jadikanlah mereka pasangan yang sabar dalam menghadapi dugaan dalam alam berumahtangga. Kurniakanlah mereka zuriat yang soleh dan solehah yang menjadi penyeri hidup mereka dan yang boleh mendoakan mereka di saat mereka tiada lagi di dunia ini. Semoga ikatan yang mereka bina kekal hingga ke syurga. Amin Ya rabbal A’lamin...
                                               .....Selamat Pengantin Baru.....

Siapa kita sebenarnya?

Kita sebenarnya lebih  gembira menyambut 1 Januari  daripada  1 Muharram Kita sebenarnya lebih  tahu apa itu 14 Februari  daripada  12 RabiulawalKita sebenarnya lebih membesarkan hari Sabtu dan Ahad  daripada  hari Jumaat Kita sebenarnya lebih  khusyuk mendengar lagu daripada  mendengar Azan Kita sebenarnya lebih  suka lepak, tidur, tengok TV daripada sembahyang Kita sebenarnya lebih  tahu tentang artis pujaan kita  daripada  nama nabi-nabi Allah Kita sebenarnya lebih  suka menyebut hello! hai!  daripada assalamuallaikumKita sebenarnya lebih suka menyanyi daripada berwirid, bertahmid                                     Kita sebenarnya lebih suka memuji manusia  daripada Tuhan kita sendiri Kita sebenarnya lebih suka membaca majalah hiburan  daripada  buku-buku agamaKita sebenarnya lebih suka ke konsert, karaoke  daripada  ceramah agama Kita sebenarnya lebih suka memaki, mengumpat orang daripada  memuji mereka Kita sebenarnya lebih suka mencarut, daripada  menyebut MasyaAllah Kita sebenarnya lebih suka kemungkaran daripada  berbuat kebaikkan Kita sebenarnya lebih bangga dengan kejahilan kita daripada  bersyukur dgn keimanan kita Kita sebenarnya lebih cintakan urusan dunia daripada  urusan akhirat


Mengeluh

A : Untunglah kau, badan kurus. Pakai apa-apa pun cantik. Aku ni apa ada?
       B : Untunglah kau, anak orang kaya. Pergi ‘class’ naik kereta. Aku ni apa ada? Anak orang susah jer
Assalamualaikum. Mengeluh...apakah pandangan anda jika saya katakan kita memang suka mengeluh. Saya tak bercakap mengenai orang lain, tapi diri saya sendiri, tidak pernah lari daripada mengeluh. Masya-Allah. Bila agaknya kita mengeluh? Sebenarnya kita tidak sedar bila kita mengeluh. Apa yang membuatkan kita mengeluh? Semestinya bila kita tidak berpuas hati dengan apa yang kita perolehi. Itu semua cuma pandangan peribadi saya. Saya begitu yakin anda semua di luar sana mempunyai pandangan yang lebih baik daripada saya.
Sedarkah kita apa yang kita perolehi selama ini semuanya adalah pemberian dan anugerah daripada Yang Maha Pencipta. Kita sepatutnya ucapkan Alhamdulillah, bukannya mengeluh. Adakah dengan keluhan anda itu semuanya akan berubah? Adakah semua hajat anda akan tercapai? Adakah dengan keluhan juga harta anda semakin menggunung? Ilmu anda semakin bertambah? Rumah anda semakin besar? Hidup anda semakin bahagia? Atau kekayaan anda semakin melimpah? Masya-Allah, sedarlah yang semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Tidak berhak untuk kita sebagai hambaNya untuk mempertikaikannya lagi. Apa yang kita dapat itu adalah rezeki kita. Terimalah seadanya dengan hati dan jiwa yang lapang, redha dan pasrah seikhlas yang mungkin. Itulah yang sewajarnya kita lakukan.
Tapi, apa yang kita lihat hari ini, berapa ramai yang menerima ketentuan daripada Allah SWT tanpa sebarang keluhan? ‘Result’ tidak mencapai target kita mengeluh...duit tidak cukup kita mengeluh...makanan tidak sedap pun kita mengeluh...soalan ‘exam’ susah lagi kita mengeluh...’lecturer’ cakap nak buat ‘extra class’ pun kita mengeluh.., bila agaknya kita tidak mengeluh..,sepanjang masa kita mengeluh. Itu semua contoh jika kita merupakan seorang pelajar. Di posisi sebagai ibu bapa, lain pula keluhannya. Contohnya, mengeluh bila anak kawan dapat ‘result’ lagi bagus, mengeluh bila lagi nak tukar langsir baru, sofa baru, dan macam-macam lagi keluhan terhadap perkara yang tidak berfaedah. Yang lagi menyedihkan bila ada yang mengeluh terhadap pasangan hidup. Kenapa muka isteri aku penuh dengan jerawat, jeragat? Kenapa isteri aku gemuk macam belon? Kenapa suami aku hitam, tak ‘handsome’? Kenapa suami aku miskin, papa kedana? Kenapa aku dapat suami yang bodoh, jadi kuli orang je? Kenapa isteri aku masak langsung tak sedap, tawar, tak ada rasa langsung? Kenapa itu, kenapa ini...macam-macam kenapa lagi yang kita persoalkan tanpa perasaan malu.  Masya-Allah, cubalah kita beristighfar, ingat Tuhan kita. Cuba juga kita pandang diri kita dalam cermin, tenung wajah kita sedalam-dalamnya, dan berilah sedikit ruang untuk berfikir tentang diri kita. Siapa diri kita sebenarnya? Baik sangat ke kita ni? Cantik sangat ke kita ni? Kacak sangat ke kita ni? Licin sangat ke kulit kita ni? Ramping sangat ke pinggang kita ni? Mancung sangat ke hidung kita tu? Kaya sangat ke kita ni? Besar sangat ke rumah kita? Pandai sangat ke kita? Ada Master? Ada phD? Sejauh mana hebatnya diri kita sebenarnya? Saya bukannya ingin merendahkan darjat ataupun menghina sesiapa. Saya minta maaf jika persoalan yang saya utarakan ini membuat anda terasa hati. Tujuan saya cuma untuk menyedarkan kita semua. Kita sebenarnya tidak berhak sama sekali untuk mempersoalkan semua itu. Kita bukannya sesiapa. Sedarlah siapa diri kita. Saya percaya pada kata-kata, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Jadi, jika kita tidak berpuas hati dengan pasangan yang telah ditentukan untuk kita, cuba kita memperhalusi semula siapa diri kita sebenarnya. Layakkah kita untuk mendapat pasangan yang kita impikan? Tepuk dada tanya iman, tanya amal.
Betapa ruginya hidup kita kalau asyik menghabiskan masa dengan mengeluh. Bukannya boleh merubah semua yang terjadi. Buat penat je mengeluh, membebel tentang takdir hidup kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada hari ini. Bukan semua orang di luar sana yang ada apa yang kita ada, yang dapat apa yang kita dapat. Kita sangat beruntung sebenarnya. Ada hikmah di sebalik apa yang Tuhan tentukan dalam hidup kita. Kenapa Tuhan takdirkan kita dilahirkan dalam keluarga yang tidak kaya? Kenapa bapa kita bukan Tan Sri? Kenapa suami kita bukan Datuk? Mahupun menteri? Kenapa isteri kita bukan usahawan berjaya? Kenapa anak kita bukan selebriti terkenal? Kenapa pula Tuhan tentukan pasangan hidup kita tidak cantik, tidak kacak? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Masya-Allah. Ayuh kita sama-sama perbetulkan iman kita. Dalam hal ini seharusnya kita berfikiran positif dan bersangka baik dengan setiap ketentuan Ilahi. Pada saya, Allah SWT sayangkan kita. Mungkin kita akan bertambah bongkak, angkuh, sombong dengan semua itu. Kerana itu Allah SWT menentukan takdir kita seperti hari ini, tidak seperti yang mana kita inginkan dan yang kita impikan selama ini. Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik untuk seluruh hambaNya. Mungkin kita lebih bahagia dengan kehidupan yang sederhana yang kita perolehi hari ini berbanding dengan kehidupan yang dikelilingi dengan kemewahan. Tiada gunanya juga kalau badan bersalut emas, tapi solat entah ke mana. Tiada gunanya pelajaran tinggi melangit kalau Al-Quran tak tahu nak baca. Tiada gunanya harta tinggi menggunung kalau hidup tidak tenteram. Tiada gunanya kalau santapan lazat penuh di meja kalau satu badan penuh penyakit. Mungkin juga kekurangan dalam hidup kita hari ini akan memasukkan kita ke syurga dan juga mungkin kekayaan yang kita impikan itu bakal menghumban kita ke neraka. Tiada gunanya jika bersuami dan beristerikan orang yang kacak dan cantik, tetapi hidup tidak bahagia. Tiada gunanya jika anak kita selebriti popular tapi sering memalukan keluarga. Allah SWT sayangkan kita. Dia mahu menempatkan kita di syurga, mungkin. Jadi, redhalah dengan setiap apa yang telah ditentukan. Ingatlah, di syurga kelak tidak akan ada sebarang kekurangan lagi dalam hidup kita. Pilihan di tangan kita....taman syurga yang kekal abadi ataupun pentas dunia yang penuh dengan kepalsuan dan sandiwara.
                                               Sekian, Assalamualikum....

Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun. Sesungguhnya aku ini hamba yang sentiasa melakukan kesilapan, Engkau ampunilah dosa-dosa aku sejak dilahirkan hingga ke saat ini. Ya Tuhanku Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, Kau hindarilah aku daripada merungut dan mengeluh dan tidak bersyukur dengan setiap pemberianMu. Kau peliharalah hidup aku sejak aku dilahirkan hinggalah aku menghembuskan nafasku yang terakhir. Kau ambillah nyawaku ketika aku dalam keadaan iman dan Islam. Aku yakin setiap apa yang Engkau tentukan ini semuanya ada hikmah. Aku terima semua ini dengan hati yang ikhlas. Amin Ya Rabbal A’lamin...




Umrah

Assalamualaikum....sudah hampir dua minggu saya bercuti. Musim cuti membuatkan saya tiba-tiba terfikir untuk melakukan sesuatu. Umrah...tepat sekali, umrah. Saya yakin ramai anda di luar sana yang telah diberikan peluang untuk menunaikan umrah. Syukur, Alhamdulillah...anda merupakan insan yang telah dipilih olehNya. Tahniah saya ucapkan. Bagi mereka yang belum berkesempatan dan belum lagi diberikan rezeki untuk menunaikan umrah, diharap bersabar. Mungkin giliran anda bukan hari ini, tetapi mungkin juga esok atau hari-hari lain yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Saya juga masih belum diberikan kesempatan untuk sampai ke sana. Jauh di sudut hati saya, memang saya sangat teringin untuk pergi dan menunaikan ibadat di sana. Mungkin rezeki saya untuk ke sana belum ada lagi. Mungkin juga masanya belum tiba. Saya harus sabar menunggu. Tiba saat dan ketikanya, sampailah juga saya ke sana, Insya-Allah. Jadi, tugas saya sekarang ialah kumpul duit, kumpul ilmu untuk bekalan sewaktu di sana.
Betapa nikmatnya jika kita dapat sampai ke tanah suci, dapat melawat makam Rasulullah SAW, dapat berdoa di makam baginda, dapat beribadat serta bersujud di dalam Masjidil Haram, dapat menadah tangan dan berdoa di hadapan kaabah. Masya-Allah, alangkah bahagianya hidup ini. Tika jari-jemari ini asyik menaip luahan hati ini, tiba-tiba mata ini berpaling ke arah dinding rumah, termenung seketika tatkala terpandang pada gambar kaabah yang besar tergantung di dinding. Tertanya-tanya dalam hati ini, bilakah agaknya diri ini akan dipanggil ke sana. Semoga dipermudahkan segalanya, Amin.  
            Bagi sesiapa yang telah berkesempatan sampai ke sana, saya harap dapatlah sekiranya kalian berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan perasaan kalian sewaktu berada di sana. Saya ingin sekali mengetahuinya. Sekian sahaja coretan ringkas saya untuk kali ini.
Sekian, Assalamualaikum....




Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan Yang Maha Berkuasa, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku. Aku memohon padaMu Ya Allah, Kau berilah kepadaku kesempatan untuk ke tanah suci sebelum aku menutup mataku buat selama-lamanya. Hatiku ini amat teringin untuk ke sana. Mungkin masaku belum lagi tiba. Aku akan sentiasa sabar menanti. Aku yakin sesungguhnya Engkau telah menentukan segala yang terbaik untukku. Aku bersyukur dengan setiap ketentuanMu. Amin Ya Rabbal A’lamin...

Ku Mohon ( sheila majid )

Setiap hariku, menadah tangan sentiasa
Menberiku ketenangan dalam hati kekuatan, menempuhi segala dugaan yang mencabar ini
Pasti....
Engkau beriku harapan, menjawab segala persoalan
Hadapi semua dalam tenang, dengan merasa kesyukuran
Ku doa selalu kau selalu mengawasi gerak-geriku
Berkatilah...penuh rahmat dariMu
Oh Tuhan, terangkan hati dalam sanubariku
Untuk menempuhi segala hidup penuh cabaran ini
Oh Tuhan, kuberserah segalanya kepadaMu
Agar jiwaku tenang dalam bimbinganMu...selalu
Adakala kumerasa hidup ini seperti kaca
Jikalau tidak bersabar, hancur berderailah akhirnya
Tabahlah hatiku, melalui semua itu
Kuatkanlah, cekalkanlah diriku
Oh tuhan, terangkanlah hati dalam sanubariku
Untuk menempuhi segala hidup penuh cabaran ini
Oh Tuhan, kuberserah segalanya kepadaMu
Agar jiwaku tenang dalam bimbinganMu selalu
Curahkanlah nikmat Mu pada hidupku
Oh tuhan, terangkanlah hati dalam sanubariku
Untuk menempuhi segala hidup penuh cabaran ini
Oh Tuhan, kuberserah segalanya kepadaMu
Agar jiwaku tenang dalam bimbinganMu selalu

Apa makna anak bagi ibu bapa?

Assalamualaikum wahai ibu dan bapa. Macam mana ibu bapa, begitulah anak-anaknya. Macam mana kita, begitulah anak-anak kita. Baru sahaja beberapa minit lepas, di depan mata saya, seorang ibu menonjol kepala seorang anak. Sedih rasanya hati saya melihat si ibu sanggup melakukannya. Saya nak menegur terasa serba-salah. Tidak pernah terfikir ke si ibu akan kesan kepada perlakuannya. Hari ini dia tonjol kepala anaknya, esok lusa, anaknya pula akan menonjol kepala cucunya.
Anak ibarat anugerah dan juga amanah yang telah Allah SWT kirimkan untuk kita sebagai ibu bapa mencorak, membentuk dan mendidik anak itu sebaik mungkin. Tapi, apa yang saya perhatikan sekarang, ibu bapa seolah-olah tidak faham akan tanggungjawab mereka. Atau pun mereka saja buat-buat tidak faham. Apa yang saya boleh katakan di sini mungkin mereka kurang ilmu baik dari segi agama ataupun psikologi dan apa sahaja yang bersangkut-paut mengenai didikan anak-anak. Tidak perlu kita untuk menyalahkan anak itu sendiri atau rakan anak itu ataupun guru-gurunya jika suatu hari nanti anak itu gagal dalam hidup. Tidak perlu juga untuk menyalahkan benih pasangan kita jika anak itu tergelincir dari landasan hidup. Di hari perhitungan kelak, Allah akan menyoal bagaimana kita mendidik anak-anak. Apa kita sebagai ibu bapa untuk menjawab? Tidak pernah terfikirkah kita? Jika anak-anak kita hari ini ada yang bergelumang dengan najis dadah, ada juga yang terjebak dengan kancah pergaulan bebas, ada pula yang terjerumus ke dalam gaung penzinaan dan akhirnya, di akhirat kelak pastinya kawah neraka yang akan menjemput anak-anak kita. Sanggupkah kita melihat anak-anak kita terkapai-kapai tangan mereka meminta tolong di akhirat kelak? Jadi, sementara anak-anak kita masih lagi muda, masih lagi mentah, masih lagi hingusan, masih lagi boleh dilentur, masih lagi boleh dibentuk, maka didiklah mereka, bagilah sebaik mungkin didikan yang mereka perlu, tunjuklah mereka contoh yang terbaik, supaya mereka sedar, supaya mereka tahu, bagaimana dan kenapa mereka dilahirkan. Biar mereka tidak lagi buta...tidak lagi pekak...tidak lagi bisu dek kejahilan dunia yang mengelilingi mereka.
Saya bukannya seorang ibu, saya bukan juga seorang ‘motivator’, malah bukan juga seorang ilmuwan, saya cuma seorang anak yang masih lagi belajar bagaimana untuk hidup yang juga secara langsung bertindak sebagai pemerhati. Saya juga sedar, ilmu saya tidaklah setinggi gunung kinabalu, fikiran saya juga tidak seluas lautan biru, tapi, saya merasakan saya juga berhak bercakap mengenai isu ini. Saya bukannya sesiapa dalam hidup kalian, saya juga tidak mampu untuk mengubah persepsi semua orang, tapi, apa yang saya boleh harapkan, ialah agar ibu bapa sama-sama celik mata, celik jiwa, celik hati...sadarlah kalian daripada tidur kalian yang selama ini membuai kalian. Sadarlah yang kalian punya amanah yang besar yang telah dikirimkan oleh Allah SWT untuk anda laksanakan. Apa amanah itu? Tidak lain dan tidak bukan, anak-anak kalianlah. Fikirlah, hidup kita semakin hari semakin singkat, tatkala Allah SWT memanggil kita, kita nak siapa yang memandikan kita? Siapa yang mengafankan kita? Siapa yang mengebumikan kita? Siapa yang mendoakan kita? Kalian sebagai ibu bapa seharusnya memikirkan persoalan itu.
Kadang-kadang, saya fikir ibu bapa perlu menolak ego mereka ke tepi. Bukannya apa, saya rasa anak-anak gagal dibentuk kerana salah ibu bapa sendiri. Mereka terlampau ego dan merasakan anak-anak patut tunduk pada mereka dan mengikut telunjuk mereka. Mereka mahu anak-anak sentiasa berada dalam cengkaman mereka. Anda sebagai ibu bapa perlu sedar, cengkaman tangan anda itu bakal merosakkan dan memusnahkan hidup anak-anak anda. Bagi saya, anak-anak juga punya hak mereka. Mereka harus di berikan peluang untuk memilih. Jangan kita sebagai ibu bapa untuk membuat pilihan bagi anak-anak. Anak-anak sebenarnya mempunyai pandangan dan juga kadang-kadang ilmu mereka lebih tinggi daripada ibu bapa mereka. Jadi, apa salahnya ibu bapa mengalah dengan anak-anak. Tidak salah rasanya kita sebagai ibu bapa meluangkan sedikit masa untuk memikir dan mempertimbang sebaik mungkin pendapat anak-anak. Tidak salah juga rasanya jika ibu bapa memohon maaf kepada anak-anak. Takkan sesekali jatuh maruah ibu bapa, tidak mungkin pudar rasa hormat anak itu kepada ibu bapa dan pastinya tidak luntur rasa sayang anak terhadap ibu bapa jika ibu bapa sendiri yang mengalah dan memohon maaf. Malah, anak-anak akan merasakan diri mereka lebih dihargai. Jangan sesekali membiarkan anak-anak sahaja yang memohon maaf kepada ibu bapa. Jika anda senang untuk mengungkapkan perkataan ‘maaf’ di hadapan anak-anak, pastinya mereka juga begitu. Sebelum kalian melembutkan lidah anak-anak kalian, lembutkanlah lidah kalian terlebih dahulu. Ketepikanlah ego kalian, wahai ibu bapa. Demi kebahagiaan dan kejayaan anak-anak, tidak salah untuk kalian mengalah. Ingatlah, mengalah tidak bererti kalah.

                                 Sekian, Assalamualaikum.....


Ya Allah, Tuhan Yang Yang Maha Pengampun, Kau ampunilah dosa ibu bapaku dan juga dosa-dosa seluruh manusia yang bergelar ibu bapa di muka bumi ini. Berilah mereka petunjuk dan hidayahMu agar mereka sedar, agar mereka tidak lupa akan tanggungjawab dan amanah yang telah Engkau berikan kepada mereka terhadap kami sebagai anak-anak mereka. Aku pohon kepadaMu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Kau golongkanlah kami dalam golongan anak-anak yang soleh dan solehah untuk ibu bapa kami, Kau golongkan ibu bapa kami dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan jika suatu hari nanti, kami pula yang akan bergelar ibu bapa, maka kau mantapkanlah keimanan dan kesabaran kami dalam mendidik amanah yang telah Engkau berikan. Lindungilah anak-anak kami dan juga seluruh keturunan kami daripada godaan syaitan dan azab api neraka. Amin Ya Rabbal A’lamin.....



Hari Ini Milik Kita

The best preparation for good work tomorrow is to do good work today.
                                                                                       (Elbert Hubbard)

Assalamualaikum...Hari ini milik kita. Jadi untuk apa kita termenung menunggu kehadiran hari esok yang belum tentu akan tiba. Jika hari esok tiba sekalipun, belum tentu lagi ia adalah manis. Mungkin ia adalah pahit malah lebih pahit daripada hari ini dan hari-hari semalam. Tiada gunanya anda menanti sesuatu yang belum pasti menjadi milik kita.
Untuk itu, fokuslah sepenuhnya untuk hari ini. Kerana hari ini milik kita, dan semestinya sudah menjadi milik kita. Genggam hari ini sekuat mungkin. Jangan biarkan ia terlepas daripada genggaman kita, jangan biarkan ia terbang dibawa angin, jangan biarkan ia lenyap bersama hujan dan jangan sesekali ia hancur dimamah mentari. Berjanjilah dengan diri kita untuk melakukan yang terbaik, sehabis baik untuk hari ini.....kerana hari esok belum tentu akan ada.
Defer not tomorrow to be wise,
Tomorrow’s sun to thee may never rise.
(William Congreve)

Apa yang kita sepatutnya lakukan untuk hari ini? Banyak bukan...sempat atau tidak itu tidak penting. Yang penting ialah kita lakukannya sebaik mungkin, seikhlas yang boleh...pulangannya, tidak penting. Semestinya, Allah telah menjanjikan sesuatu yang terbaik untuk kita. Yakinlah pada kebolehan yang ada pada diri kita dan juga ketentuan yang Allah telah tentukan. Redha, ikhlas dan pasrah...itu adalah yang penting. Jangan terlalu fikirkan pulangan yang akan kita dapat. Allah telah menjanjikannya untuk kita, cuma masa dan ketikanya sahaja dirahsiakan. Allah mahu kita bersabar, jadi bersabarlah.



Jika Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu
Jika Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia sedang mengujimu
Jika Dia tidak memakbulkan doamu, maka semestinya Dia telah merancang sesuatu yang lebih baik untukmu
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik dengan setiap apa yang berlaku, kerana kasih- sayang Allah mendahului kemurkaanNya

Dan janganlah kita bersedih jika kita tidak berpeluang mengecapi nikmat balasan tersebut ketika di dunia. Kerana itu, kita jangan terlalu menantikan dan mengharapkan balasan itu. Mungkin sekarang bukan masanya. Mungkin kita akan merasakan nikmat itu di akhirat kelak. Kerana itu adalah lebih manis.
Do all the good you can,
By all the means you can,
In all the ways you can,
In all the places you can,
At all the times you can,
To all the people you can,
As long as ever you can.
(John Wesley)

                                               Sekian, Assalamualaikum....

       Ya Allah, Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, Kau masih lagi memberikan aku nikmat untuk terus hidup. Dengan itu, Kau lindungilah aku, Ya Allah. Kau terimalah amal ibadat yang aku telah lakukan pada selama ini, Ya Allah. Seandainya hari esok masih lagi menjadi milik aku, Kau peliharakanlah aku Ya Allah, tunjukkan aku jalan yang lurus, yakni jalan  yang telah Engkau redhai. Amin Ya Rabbal A’lamin...

Cinta

Assalamualaikum...Malam ini, tiba-tiba sahaja saya terasa ingin mencoret sesuatu berkenaan dengan cinta. Entah kenapa hati saya berbisik dan meminta saya membuat coretan cinta, walhal saya seolah-olah telah mati cinta. Buat masa sekarang, bagi saya cinta pada manusia tidak penting. Yang pentingnya, cinta pada Yang Maha Pencipta dan kekasihNya. Juga tidak lupa cinta pada orang tua kita.
Sekarang, saya perhatikan ramai siswa-siswi yang sedang bergelumang dengan permainan cinta yang mengasyikkan. Masing-masing mempunyai pasangan masing-masing. Tidak kurang pula ada yang berhajat mahu menamatkan zaman ‘single’ sebaik sahaja tamat pengajian. Begitu rapi susunan jadual masa depan mereka. Kalau di universiti saya, memang rata-rata pelajar ber’couple’. Mana tidaknya, ke sana ke mari sentiasa berpasangan. Makan bersama, ‘study’ bersama, pergi kuliah pun bersama..bak kata orang, memang masa 24 jam banyak dihabiskan bersama pasangan. Amboi..., kalian sudah mengalahkan pasangan suami isteri. Ada juga sampai pasangan mereka hantar sampai ke hostel. ‘Caring’ betul pasangan anda.
Mmmm..., kalau saya lah kan, saya lebih memilih untuk bercinta selepas berkahwin. Kenapa? Sebab bercinta selepas berkahwin lagi menyeronokkan dan diberkati. Saya amat yakin semua lelaki semestinya menginginkan wanita yang solehah dan sempurna dari segi iman dan amal untuk dijadikan permaisuri hati. Bagi saya jika seseorang perempuan itu sudah selalu keluar ber’dating’ dan berdua-duaan dengan pasangannya, mesti pasangannya sudah jemu dan baginya perempuan itu sudah biasa, tiada yang luar biasa. Semestinya lelaki menginginkan seorang wanita yang luar biasa untuk dijadikan isteri. Keseronokan hidup selepas kahwin akan menjadi hambar dan hilang kerana masing-masing telah banyak mengenali tentang diri pasangan masing-masing. Mana tidaknya, kalau sebelum berkahwin sudah selalu menghabiskan masa bersama, semestinya banyak ‘rahsia’ yang telah dibongkarkan, banyak masalah yang telah diceritakan dan banyak benda yang telah ditunjukkan. Dan jika rumah tangga menjadi porak peranda, salah siapa? Siapa perlu dituding jari? Isteri atau suami? Atau ibubapa mereka yang tidak memberi didikan sewajarnya pada mereka? Anda masing-masing boleh memikirkannya sendiri.
Cinta bagi saya tidak memberi apa-apa erti. Untuk apa kita bercinta? Adakah kita benar-benar yakin yang pasangan kita itu memang akan menjadi suami atau isteri kita? Semuanya, belum pasti...mungkin juga si dia bukan pasangan hidup kita. Allah telah menentukan jodoh kita sejak kita di dalam kandungan lagi. Tidak perlu kita menyibukkan diri untuk mencari jodoh kita yang belum pasti ketepatannya. Bagi saya, itu semua hanya buang masa sahaja. Yakinlah, jodoh kita akan sampai, cepat ataupun lambat sahaja. Jadi bersabarlah, wahai teman-teman sekalian. Allah telah menentukan kita dengan jodoh yang terbaik. Masing-masing mempunyai jodoh masing-masing. Sesungguhnya, Allah telah menciptakan umat manusia dengan berpasangan. Bersabarlah, sesungguhnya jodoh kita sudah ada, tidak akan lambat mahupun cepat walaupun sedetik.

Dalam surah An-Nahl, ayat 1 : sesungguhnya, Allah telah menentukan segala-galanya, janganlah kalian meminta untuk mempercepatkannya

            Berbalik kepada soal cinta, saya dengan setulus ikhlas mengaku yang saya tidak pernah bercinta atau ber’couple’ dengan mana-mana lelaki. Dan saya mohon agar dijauhkan daripada kancah cinta sebelum kahwin. Saya berazam untuk hanya bercinta dengan suami saya sahaja, bukan bakal suami, tetapi suami saya yang halal buat saya. Kerana itu saya memilih untuk bercinta selepas berkahwin. Tidak ada faedahnya jika kita menghabiskan duit, masa, air mata dan juga kadang-kalanya maruah kita semata-mata kerana kita sayangkan si dia yang belum tentu akan menjadi seseorang yang halal buat kita. Nauzubillah...minta dijauhkanlah, Ya Allah. Saya rasa alangkah manisnya jika kita dapat bercinta dengan pasangan yang sudah halal buat kita, apa sahaja kita boleh lakukan (yang tidak bercanggah dengan agama), tidak ada lagi tentangan dan fitnah daripada sesiapa. Alangkah seronoknya, jika cinta kita mula berputik di saat jari manis kita disarungkan cincin, dan di saat bibir kita mencium tangan si dia, dan juga disaat bibir si dia mencium dahi kita. Alangkah nikmatnya....Dan cinta kita semakin mekar berbunga tatkala tibanya malam pertama, dan di situlah pertama kali kita mengenalinya, pertama kali kita menatapnya dan pertama kali kita menyentuhnya.
            Walaupun saya masih lagi mentah, umur baru setahun jagung, hingus pun masih lagi di hidung, tapi, saya tahu mereka yang bercinta sebelum kahwin tidak akan dapat merasai nikmat keseronokan yang sama yang dirasai oleh pasangan yang bercinta selepas berkahwin. Pasangan yang bercinta sebelum berkahwin seolah-olah menyambung percintaan mereka setelah mereka mendirikan rumah tangga. Tapi, berbeza dengan mereka yang bercinta selepas berkahwin, mereka memulakan cinta mereka daripada sifar...’nothing’... tapi mereka saling ‘bangun cinta’ tatkala diijab kabulkan. Mesti kalian pelik, kenapa saya menggunakan istilah ‘bangun cinta’....kerana bagi saya istilah ‘jatuh cinta’ tidak sesuai untuk digunakan. Perkataan jatuh itu bermakna runtuh. Saya tidak mahu masjid yang kita bina itu runtuh, jadi seeloknya, kita guna pakai istilah ‘bangun cinta’. Tidak salah bukan.....
            Bila kita bercakap mengenai redha Allah pula, semestinya setiap pasangan menginginkan setiap ikatan yang disimpulkan itu mandapat redha Allah. Persoalannya, bagaimana kita ingin mendapat redha Allah jika kita sudah terlalu banyak melanggar syariat agama sepanjang menjalinkan hubungan cinta sebelum kahwin yang dikatakan manis itu. Tidak perlulah saya menerangkannya satu-persatu...anda sendiri tahu apa yang anda lakukan. Jadi, fikir-fikirkanlah, jika perkahwinan kita tiada redha Allah, bagaimana pula dengan zuriat dan keturunan kita? Saya matikan coretan saya dengan persoalan itu untuk kita sama-sama renungi.
Sekian, Assalamualaikum.....

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Berkuasa, hanya padaMu, hambaMu yang lemah ini berserah diri. Jika dia adalah jodohku, maka Kau dekatkanlah hatiku dengan hatinya. Dan jika dia bukan jodohku, maka Kau jauhkanlah diriku dengan dirinya. Aku bersedia menerima segala yang Engkau telah tentukan untuk diriku. Bagiku, semuanya adalah yang terbaik. Kau peliharakanlah kami dan keturunan-keturunan kami daripada hasutan syaitan dan azab api neraka. Kau tempatkan kami bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin Ya Rabbal A’lamin...

Sujud

Asssalamualaikum...Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menunaikan solat zohor untuk hari ini. Semoga saya masih diberikan kudrat dan mampu mendirikan solat asar selepas ini. Persoalan saya untuk hari ini ialah, apakah perasaan anda setelah menunaikan solat? Adakah anda merasakan nikmat dalam menunaikan solat? Apakah tujuan anda mendirikan solat? Soalan itu juga sering saya fikirkan. Saya yakin, masing-masing mempunyai jawapan dan hujah yang kuat untuk soalan itu. Tepuk dada, tanya iman. Hari ini, tergerak hati saya untuk berkongsi mengenai nikmat bernafas ketika sujud.

·         Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya
·         Membetulkan pundi peranakan yang jatuh
·         Melegakan sakit hernia (burut)
·         Mengurangkan sakit senggugut ketika haid
·         Melegakan paru-paru ketika ketegangan
·         Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa
·         Kedudukan sujud adalah kedudukan yang paling baik untuk berehat dan mengimbangkan bahagian belakang tubuh
·         Meringankan bahagian pelvis
·         Memberi dorongan supaya mudah tidur
·         Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika sedang sujud dan bangun daripada sujud
·         Pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik
·         Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dada itu lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada
·         Mengurangkan kegemukan
·         Pergerakan bahagian otot memudahkan wanita untuk bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions)
·         Organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen
·         Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya
·         Dari segi psikologi, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.
                               (dipetik daripada Petanda Keagungan karya Nazri Zakaria)

Firman Allah yang bermaksud : “ada tanda-tanda mereka pada wajah mereka, daripada sebab bekas sujud” (Al-Fath: 29)
Rasulullah SAW bersabda : “suatu cara yang lebih utama yang dapat dilakukan seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah dengan melakukan sujud di tempat sunyi” (Hadis Riwayat: Ibnu Mubarak)

Syukur Alhamdulullah...azan asar kedengaran... Ayuh sama-sama kita mendirikan solat sementara masih diberikan nikmat hidup. Jangan sampai Allah SWT mengambil kita dalam keadaan kita masih belum menunaikan solat.
Sekian, Assalamualaikum.....
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan Yang Maha Mengetahui seluruh isi alam ini. Aku amat bersyukur dengan segala nikmat ini. Beikanlah peluang untuk aku mendirikan solat terlebih dahulu sebelum Engkau memanggilku. Aku mohon, kau terimalah amal ibadatku. Amin Ya Rabbal A’lamin...