Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Sejauh Mana Kita Bersyukur?

Assalamualaikum...Tatkala bercakap mengenai bersyukur, masing-masing mula mendabik dada, menunjukkan ego masing-masing, dengan tanpa segan silu mengatakan ‘aku sangat bersyukur’. Tapi, adakah itu semua benar? Sejauh mana tanda kesyukuran kita dengan nikmat yang kita ada pada hari ini? Adakah selama ini kita cuma bersyukur di bibir, tapi di hati, Nauzubillah.....
Apakah anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua-dua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tidak mempunyai kaki. Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua-dua belah betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya. Apakah anda merasai nikmat tidur dengan memejamkan kedua-dua mata, sementara masih ramai manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang ditanggungnya. Pernahkah anda merasa nista setelah memakan makanan yang lazat dan meminum minuman yang sejuk, sementara masih ramai lagi yang tidak dapat makan dan minum kerana penyakit yang mereka derita (Petikan Don’t Be Sad).
Pada pandangan peribadi saya, ramai antara kita hari ini bersyukur apabila mendapat apa yang kita idamkan. Contohnya, mendapat pasangan suami/isteri yang diidamkan, keputusan peperiksaan yang diharapkan dan juga harta yang selama ini diimpikan. Dan tatkala Allah SWT menarik kembali nikmat-nikmat tersebut, apa yang kita ucapkan? Adakah ucapan Alhamdulillah keluar daripada mulut kita? Sesungguhnya, percayalah setiap apa yang Allah aturkan untuk kita, semuanya adalah yang terbaik untuk kita. Allah SWT berhak menarik segala nikmat yang telah diberikan. Sememangnya itu adalah hakNya. Kita hanyalah peminjam. Sampai saat dan ketikanya, kita mesti memulangkan semua yang kita ada. Yakinlah bahawa Allah SWT menarik semuanya kerana Dia menyayangi kita dan memelihara kita daripada lalai dan alpa dengan nikmat-nikmatNya.
Sekian, Assalamualaikum.....
Ya Allah, jika disebabkan nikmat-nikmat ini, aku akan jatuh ke dalam gaung neraka, maka Kau ambillah semua nikmat-nikmat ini dan jauhkanlah semuanya dariku. Semoga aku terlindung daripada azab api neraka. Dan jika nikmat itu dapat membantu aku ke jalan yang Engkau redhai, maka dekatkanlah dan hiasilah diriku dengannya. Sesungguhnya, aku akan memanfaatkan dan beriman dengan segala apa yang Engkau anugerahkan kepadaku. Amin.....  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan