Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Orang Berbudi Kita Berbahasa

Assalamualaikum. Semoga kita sentiasa berada di dalam lindunganNya. Alhamdulillah, saya masih lagi diberikan ruang dan kesempatan untuk membuat coretan. Minggu ini adalah minggu terakhir untuk saya menghabiskan sisa-sisa cuti semester saya di rumah. Insya-Allah, jika diberikan kudrat dan dipanjangkan usia, saya akan kembali meneruskan pengajian untuk semester terakhir saya. Mungkin nanti saya akan bertambah sibuk dengan kuliah, eksperimen dan juga tesis. Mungkin kekangan masa akan sedikit menghalang saya untuk membuat lebih banyak coretan. Tapi, tidak mengapa, kita cuma merancang dan yang menentukannya ialah Allah SWT. Jadi, selagi saya mampu menggerakkan jari-jemari ini untuk menaip coretan hati saya, akan saya ambil sedikit masa, akan saya berikan sedikit ruang, akan saya cuba memerah otak dan akan saya lakukannya sebaik mungkin. Insya-Allah.
Pernah atau tidak sepanjang hidup anda, apabila anda melakukan kebaikan, menolong sahabat anda dan membantu mereka yang dalam kesusahan, tetapi, mereka membalas budi baik anda dengan cacian, celaan dan juga pelbagai tomahan dan fitnah yang memalukan anda. Masya-Allah. Itulah yang dinamakan roda kehidupan. Kadang-kadang kita di atas dan kadangkala kita di bawah. Tanpa dugaan, tanpa cabaran, tanpa celaan dan cacian daripada orang sekeliling, hidup kita seolah-olah hambar. Aggaplah juga semua cacian itu sebagai penambah perasa dalam kehidupan kita. Sebenarnya, tanpa celaan dan cacian mereka, kita tidak mungkin dapat mengenali orang-orang di sekeliling kita, kita tidak dapat menentukan tahap kesabaran kita, kita juga tidak dapat mengetahui betapa egonya diri kita dan macam-macam lagi perkara yang kita terlepas. Manusia ini telah diciptakan dengan pelbagai ragam. Bergantung pada diri kita sendiri bagaimana untuk berdepan dengan mereka di sekeliling kita. Samaada kita ingin menjadi seperti mereka ataupun ingin menjadi lebih baik daripada mereka. Jika mereka mencela anda dan kemudian anda mencela mereka kembali, maknanya di sini, anda adalah sebahagian daripada mereka, anda juga sama seperti mereka. Jika mereka terjun ke neraka, anda juga terjun ke neraka. Tapi, jika anda sentiasa bersabar dengan cacian mereka dan anda juga memberi nasihat pada mereka serta menunjukkan contoh yang baik, pada saya anda adalah orang yang berjaya. Anda telah berjaya mengeluarkan diri anda daripada kelompok masyarakat seperti mereka. Tahniah saya ucapkan. Syukur, Alhamdulillah.
Jangan sesekali disebabkan orang-orang di sekeliling, jiwa kita menjadi rapuh, hati kita tidak tenang, perasaan kita tidak tenteram, fikiran kita bertambah celaru dan diri kita kian hancur. Lama-kelamaan, kita semakin jauh daripada Yang Maha Pencipta. Tetapi jadikanlah celaan dan cacian mereka itu sebagai obor pembakar semangat untuk kita semakin gagah berlari menuju ke garisan penamat. Jangan sesekali kita berhenti di pertengahan jalan disebabkan mereka. Semestinya mereka mahu melihat kita gagal. Dan tatkala melihat kita rebah tersungkur ke tanah, mereka ramai-ramai akan bersorak dan bertepuk tangan. Jadi, kita jangan biarkan impian mereka untuk melihat kita jatuh menyembah bumi berhasil.
Dan jangan sesekali kita menyesali dengan apa yang telah kita hulurkan pada mereka. Jangan pernah kita dengan lantang mengeluarkan kata-kata seperti ‘menyesal betul aku tolong dia’ atau ‘kalau aku tahulah, aku takkan tolong dia’ atau ‘lepas ni jangan harap aku nak tolong dia’. Masya-Allah. Sedarlah, kita bukannya sesiapa. Pertolongan yang kita berikan itu bukannya besar sangat pun, tidak boleh dibandingkan dengan pertolongan daripada Allah SWT yang kita terima selama ini. Jadi, tidak seharusnya kita bersifat sombong dan takbur dengan pertolongan kita yang tidak seberapa itu. Sudah rezeki mereka untuk mendapat pertolongan kita, halalkanlah segala apa yang telah kita hulurkan pada mereka. Tanpa keizinan daripada Allah SWT, kita tidak mungkin dapat membantu mereka. Setiap apa yang telah kita hulurkan pada orang yang memerlukan jangan sesekali kita mengungkit. Pada saya, ego kita semakin terserlah dan maruah kita seolah-olah berada di tanah jika kita asyik mengungkit.
Jadi, apa yang harus kita lakukan? Adakah kita mahu berhenti daripada menghulurkan pertolongan? Adakah selepas ini, kita hanya mahu melihat kesusahan orang lain dengan senyuman yang lebar? Adakah kita mahu tutup mata sahaja tatkala melihat mereka dalam kesusahan dan kesempitan? Adakah kita sanggup mengatakan ‘padan muka kau’ tatkala melihat meraka meratap dalam kesakitan? Sanggupkah kita wahai sekalian pembaca? Masya-Allah. Ingatlah, sesungguhnya tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah...yang memberi adalah lebih baik di sisi Allah SWT daripada yang menerima. Tidak akan pernah rugi kalau kita menghulurkan pertolongan pada mereka yang amat memerlukan. Malahan Allah SWT akan memurahkan lagi rezeki kita. Mungkin juga orang yang kita bantu itu adalah anak yatim iaitu yang sudah ketiadaan ibu dan ayah, mungkin juga mereka yang tiada tempat bergantung, yang juga sentiasa dianiaya, yang merempat tiada tempat berlindung dan setiap hari hanya memakan sisa-sisa makanan yang kita buang. Tidak salah rasanya kalau kita menghulurkan mereka walau sesuap nasi untuk mereka mengalas perut. Tidak salah juga kalau kita mengorbankan sedikit ruang dalam banglo kita yang besar itu untuk menjadi tempat mereka berteduh. Tidak salah juga kalau kita mengeluarkan sedikit wang simpanan kita yang menggunung itu untuk membeli keperluan asas mereka. Sesungguhnya, tidak akan pernah salah jika kita mahu melakukan kebaikan. Semuanya bergantung pada niat dan nawaitu kita sendiri, sejauh mana keinginan kita untuk membantu sesama umat manusia.
Ingatlah, segala apa yang kita ada pada hari ini adalah untuk sementara sahaja. Semuanya untuk dikongsi. Sebelum Allah SWT mengambil kembali semua hakNya, saya rasa ada baiknya kalau kita menggunakan nikmat wang ringgit dan harta yang melimpah ruah itu ke arah kebaikan. Tiada gunanya kita membazirkan nikmat itu untuk ke pusat-pusat karaoke, untuk menjamu selera di restoren mewah, melabur duit untuk bercuti di negara lain, membeli barang-barang yang tidak berfaedah dan macam-macam lagi pembaziran yang setiap hari kita lakukan. Semuanya untuk memuaskan nafsu kita. Subhanallah. Berkongsilah segala apa yang kita ada hari ini untuk mereka di luar sana yang lebih memerlukan lagi. Ramai orang-orang tua yang merempat di kaki-kaki lima, ramai anak gadis yang terpaksa melacurkan diri untuk mendapatkan duit dan  ramai anak-anak kecil yang masih menadah tangan di tepi-tepi jalan. Mereka amat memerlukan bantuan kita.
Jika kita berada di pihak yang menerima pula, janganlah kita membiarkan diri kita ini dianggap seperti orang yang tidak tahu diuntung...jangan pula kita ini diibaratkan seperti kacang lupakan kulitnya. Jika seseorang itu telah membantu kita, percayalah orang itu sedang mengasihani kita. Dia tidak mahu melihat kita sentiasa dalam kesusahan dan kesulitan. Dia juga mahu melihat kita dapat merasa hidup bahagia dan tidak ada lagi kesempitan hidup seperti dahulu. Latihlah diri kita untuk selalu mengucapkan terima kasih dan sentiasalah mendoakan kebahagiaan dia di dunia dan akhirat. Sememangnya, dia tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Tapi, hari ini, adakah kita menghargai pertolongan dia? Walaupun pertolongan yang diberikan itu sudah bertahun-tahun lamanya ataupun pertolongan itu bagi kita adalah terlalu kecil, tetapi janganlah kita melupakannya. Saya tahu kita ini sememangnya mudah lalai dan alpa, terutamanya pada mereka yang telah menolong kita selama ini. Tapi, cubalah untuk tidak menjadi orang yang tidak tahu membalas jasa. Jadi, sebelum kita menghina, mencela, mencaci ataupun memfitnah seseorang itu, cubalah kita berfikir sejenak, apakah budi yang orang itu telah taburkan pada kita selama ini? Apakah jasa yang telah orang itu sumbangkan pada kita selama ini? Adakah juga kita ini dilahirkan dan membesar kerana orang itu? Adakah juga kita sekarang ini dapat belajar di menara gading dan mendapat segulung ijazah adalah kerana bantuan daripada orang itu? Atau adakah kediaman yang kita jadikan tempat berteduh sekarang ini adalah pemberian daripada orang itu? Dan adakah pakaian yang kita sedang pakai ini dan makanan yang berada di dalam mulut kita itu adalah merupakan sedekah daripada orang itu? Masya-Allah, jika kita sering mencaci dan mencela mereka yang telah membantu kita, di manakah letaknya maruah kita? Sama-samalah kita berfikir.....
           
Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Pengampun, aku ini sememangnya hambaMu yang tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa. Aku memohon keampunan hanya daripadaMu Ya Allah. Hanya padaMu tempat untuk aku memohon dan berharap. Aku bersyukur hanya padaMu atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku selama hidupku ini. Semoga dengan nikmat-nikmat ini aku dapat berbakti kepada orang-orang yang memerlukan. Kau hindarilah aku daripada sifat bakhil, Ya Allah. Jadilah aku ini insan yang pemurah dan sentiasa suka membantu. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa, aku memohon hanya padaMu supaya Engkau sentiasa melindungi aku daripada terdedah kepada benda-benda yang haram, supaya diriku ini sentiasa Engkau lindungi dengan rahmatMu dan lindungilah diriku ini daripada hasutan syaitan dan juga azab api neraka. Aku mohon juga Ya Allah, supaya aku sentiasa dalam redhaMu. Amin, Ya Rabbal A’lamin.....

Sekian, Assalamualaikum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan