Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Bersabarlah.....

Dan bersabarlah kamu, bahawasanya, kesabaran kamu itu tidak mungkin melainkan dengan Allah (Surah An-Nahl 16:127)

Assalamualaikum...Bukan senang untuk menghadapi semua dugaan dalam hidup kita. Sesungguhnya, Allah tidak akan menguji hambaNya jika hambaNya tidak mampu untuk menghadapinya. Sememangnya, saya adalah antara golongan yang bertuah kerana dipilih untuk diuji. Saya yakin bahawa Allah menguji saya kerana untuk menghapuskan dosa-dosa saya. Mungkin selama ini saya telah jauh denganNya. Dan apabila Allah menguji saya sebegini, saya bertambah dekat denganNya.
Kini, saya perlahan-lahan telah berubah ke arah kebaikan. Mungkin juga itulah hikmah di sebalik semua yang berlaku. Allah sayangkan saya. Kerana itu dia jauhkan saya dengan si dia dan dekatkan saya denganNya. Saya amat bersyukur, Alhamdulillah.
Hari demi hari, saya meniti hidup saya dengan penuh kesabaran. Saya semakin memperbaiki ibadat, dan setiap solat saya akhiri dengan doa. Saya ingin mencari diri sebenar saya yang telah lama hilang. Mungkin selama ini saya seorang yang hipokrit. Dan sekarang tidak lagi. Saya adalah diri saya.
         Ya Allah, Kau jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaanMu
Alhamdulillah, saya semakin tenang dalam bernafas, tiada lagi kekacauan, tiada lagi kebimbangan dan tiada lagi kekeliruan dalam hidup saya. Semuanya sudah jelas, sudah terang. Saya sentiasa mencuba untuk melupakan perkara lepas. Sememangnya awak telah diciptakan untuk orang lain, bukan untuk diri saya.
Ada baiknya juga Allah menjauhkan awak daripada saya. Mungkin awak tidak mampu untuk menjadi seorang suami yang baik untuk diri saya, dan juga mungkin saya tidak layak untuk mempersuamikan seorang suami sehebat awak. Mungkin saya tidak layak untuk menjadi seorang isteri yang baik untuk awak, dan mungkin juga awak tidak layak untuk memperisterikan orang seperti saya. Mungkin awak tidak mampu untuk menegur salah silap yang saya lakukan, mungkin awak tidak layak untuk membimbing saya ke jalan yang benar, dan juga mungkin awak tidak berupaya untuk memimpin saya ke syurga firdausi. Mungkin anak yang akan kita perolehi bukan anak-anak yang soleh dan solehah. Mungkin saya tidak mampu untuk bergelar seorang ibu kepada anak-anak kita. Mungkin juga saya tidak mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga ibu. Mungkin tangggungjawab saya sebagai seorang anak belum lagi cukup. Mungkin tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar belum lagi habis. Mungkin saya tidak mampu untuk memenangi hati keluarga awak. Mungkin awak bukan jodoh untuk saya. Mungkin ada insan lain yang telah diciptakan untuk saya. Mungkin saya akan lebih bahagia dengan insan itu. Semuanya sudah tertulis. Pelbagai kemungkinan yang saya andaikan untuk menenangkan diri ini.
Walaupun hati saya ini hancur, tapi, Alhamdulillah, setitik air mata pun tidak pernah gugur. Saya insan yang kuat semangat. Saya mampu menghadapi semua dugaan ini tanpa air mata, bukan semua orang mampu menghadapinya. Malah, di kala ini saya masih mampu lagi mengukir senyuman, sebagai tanda saya redha dengan ketentuan Yang Maha Esa, saya pasrah dengan apa yang berlaku. Saya percaya, setiap apa yang Allah aturkan adalah yang terbaik untuk saya. Saya tidak perlu bimbang, tidak perlu risau, tidak perlu sedih, tapi saya cuma perlu pasrah, redha, ikhlas dalam menerima dugaan ini. Sekejap lagi, Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik. Saya percaya itu.  Terima kasih Ya Allah.....
            Teringat saya pada satu cerita yang mengisahkan tentang seorang kakak dan adiknya. Si adik dan si kakak berada di dalam sebuah kereta yang dipandu oleh si adik. Tujuan mereka adalah untuk menghantar si kakak ke stesen bas keraa si kakak akan bertolak ke Kuala Lumpur pada malam itu. Jadual perjalanan si kakak adalah pada pukul 9.00 malam. Pada ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 8.50 malam. Perjalanan mereka masih panjang, sejauh 15 kilometer. Si kakak asyik merungut ketika berada di dalam kereta. Tiba-tiba, kereta yang dipandu si adik rosak, enjinnya mati tanpa diduga. Si kakak bertambah marah. Akhirnya, setelah beberapa kali cuba menghidupkan enjin kereta itu, si adik berjaya. Mereka tiba di stesen bas lebih kurang pukul 9.05 malam dan pada ketika itu bas telah bertolak. Si kakak mula melenting dan sepanjang malam dia merungut, menyalahkan si adik. Si adik hanya mampu diam, mendengar leteran itu. Dan keesokan harinya, ada berita yang mengatakan bas tersebut telah tersekat akibat banjir di Kuantan. Semua penumpang terpaksa tidur di dalam bas semalaman. Si adik tersenyum, begitu juga dengan si kakak. Jadi, yakinlah Tuhan sentiasa memberikan kita yang terbaik. Ada hikmah di sebalik si kakak itu tertinggal bas. Paling tidak, dia tidak perlu berhimpit tidur di dalam bas.
Sekian, Assalamualaikum.....

            Ya Allah, Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya, hambaMu ini meyakini setiap apa yang berlaku itu telah Kau aturkan dan aku yakin ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku. Ya Allah, semoga aku sabar dengan dugaan ini. Jika sememangnya Kau telah ciptakan mereka berdua untuk bersama, maka Kau satukanlah mereka dan bahagiakanlah mereka. Ya Allah, hanya padaMu hambaMu ini berserah.Terima kasih Ya Allah untuk setiap nikmat yang telah Kau anugerahkan untuk aku di saat aku di dalam kandungan ibuku hinggalah ke saat ini. Aku amat bersyukur. Amin, Ya Rabbal A’lamin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan