Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Kehilangan Adalah Sesuatu Yang Menyakitkan atau Menggembirakan?

Assalamualaikum. Alhamdulillah, hari ini kita masih lagi diberikan kesempatan untuk mengecapi nikmat untuk hidup. Hari ini diharap juga kita masih lagi sempat untuk melihat matahari tenggelam seperti hari semalam. Diharap juga esok kita juga diberi masa untuk melihat matahari terbit menyinar di ufuk timur sepertimana hari ini. Insya-Allah, sama-samalah kita berdoa kepadaNya. Mungkin juga hari ini adalah hari terakhir kita, ayuhlah kita sama-sama menikmati semua kehebatan nikmat ini dengan penuh kesyukuran.
Petang ini, angin sepoi-sepoi bahasa membuai hati saya. Jiwa saya terasa tenang, fikiran saya terasa lapang. Tiba-tiba teringat pada si dia. Semoga dia sedang gembira menikmati kehidupan baru sebagai seorang suami. Semoga dia dapat menjadi suami yang boleh menjadi pemimpin dan pembimbing kepada isteri dan anak-anaknya. Walaupun sudah lebih kurang tiga minggu berlalu, tapi masih sukar untuk diri ini melupakanmu. Masya-Allah, sungguh besar dugaanMu Ya Allah terhadapku kali ini. Tapi, aku tidak mungkin akan mengalah. Aku boleh menghadapinya. Insya-Allah.
Pernahkah kalian kehilangan sesuatu atau terasa kehilangan sesuatu yang anda sayang? Apa yang anda lakukan untuk menerima keadaan itu? Adakah anda dapat menerima segalanya atau anda masih lagi cuba untuk berperang dengan takdir? Masya-Allah. Jika anda telah dapat menerimanya dengan hati yang ikhlas, syukur Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah. Anda sememangnya seorang yang kuat. Saya harap juga saya boleh jadi seperti anda. Insya-Allah.
Pada saya, Allah SWT tidak akan sengaja membuat kita kehilangan sesuatu yang kita sayang. Tiada gunanya jika kita menyimpan barang yang kita sayang itu jika ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada diri kita, malahan juga boleh memudaratkan diri kita, kadang-kadang juga boleh menjadi barah dalam badan kita. Jadi, lebih baik Allah SWT mengambil dan menjauhkannya daripada kita. Kita kena percaya, kadang-kadang benda yang kita sayang itu yang boleh menyesatkan kita, meruntuhkan maruah kita, menghancurkan diri kita, menggelapkan kubur kita dan akhirnya menghumban kita ke neraka jahanam. Masya-Allah. Hari ini, kita juga tidak kenal siapa diri kita sekarang dan kita juga jauh dengan Allah SWT, semuanya kerana benda yang kita sayang itu. Subhanallah.

Anda pernah atau tidak mengalami situasi di mana rumah anda dipecah masuk, duit anda dirompak, laptop dan handphone anda dibawa lari orang, kereta anda dicuri dan macam–macam lagi dugaan...pernah atau tidak? Subhanallah. Jika anda berada dalam situasi sebegini, apa yang anda rasakan? Adakah anda redha? Atau anda sekadar bersedih? Atau meluahkannya di ‘facebook’? Atau anda memaki hamun di blog? Anggaplah apa yang telah berlaku itu bukan suatu musibah, tetapi suatu dugaan dan peringatan untuk diri kita. Mungkin sudah ditentukan semua itu adalah rezeki si pencuri dan si perompak itu, bukannya rezeki kita. Mungkin juga semua barang-barang yang kita hilang itu adalah barang-barang yang kita perolehi daripada sumber yang haram. Jadi Allah SWT mahu memelihara dan menghindarkan diri kita daripada sesuatu yang haram. Tugas kita sekarang adalah menadah tangan dan berdoa supaya si pencuri dan juga si perompak itu segera bertaubat, kembali kepada Allah SWT dan halalkanlah apa yang telah mereka ambil. Mungkin mereka amat memerlukan barang-barang tersebut berbanding dengan kita. Yakinlah, apabila hari ini Allah SWT  mengambil sesuatu daripada kita, nescaya, esok Allah SWT akan menggantikan dengan yang lebih baik.
Jika anda berada dalam situasi anda kehilangan ibu bapa atau ahli keluarga anda, apa yang anda rasakan? Jika ditakdirkan Allah SWT telah mengambil mereka lebih dahulu daripada anda, bagaimana perasaan anda? Saya belum pernah mengalami semua itu. Saya takut untuk menghadapinya. Jika ditakdirkan dan telah tertulis semua itu akan berlaku dalam hidup saya, entah, saya sendiri tidak dapat membayangkannya. Anda yang telah mengalaminya, saya yakin ia adalah sesuatu yang amat pahit untuk ditelan, amat perit untuk ditanggung, amat sukar untuk diterima dan sememangnya susah untuk dipercaya. Hidup seolah-olah telah berubah tanpa orang tersayang di sisi sebagai peneman hidup. Hanya Tuhan yang tahu betapa sukar untuk menerimanya, tapi apakan daya, kita ini milik Yang Maha Pencipta. Lumrah hidup manusia sekarang, setelah kehilangan sesuatu, barulah kita terasa kehilangannya, barulah kita rasa mahu menghargainya, barulah kita teringin untuk memberi anugerah kepadanya. Dan macam-macam lagi. Orang yang sudah pergi untuk selama-lamanya tidak mahukan semua itu. Mereka cuma mengharapkan sedekah Al-Fatihah daripada anda. Ayuh, kita sama-sama tadahkan tangan, ringankan mulut untuk membaca Al-Fatihah dan menyedekahkan pada mereka. Tidak perlu untuk menunggu setelah selesai solat, baru teringat untuk berbuat demikian. Tidak perlu juga untuk menunggu Hari Raya, baru nak melawat pusara mereka. Tidak perlu juga tunggu malam Jumaat, baru nak baca surah Yassin. Sekarang juga boleh, di mana-mana saja boleh. Semuanya bergantung pada diri kita. Jika kita sayangkan mereka, kita tidak perlu lagi bertangguh. Lakukanlah sekarang. Ayuh. Mereka sedang menunggu doa-doa daripada kita yang masih lagi hidup ini. Kasihanilah mereka yang sedang lapar dan dahagakan doa-doa kita.
Ingatlah, tidak pernah rugi jika kita menyedekahkan Al-Fatihah untuk mereka yang telah pergi. Biar pun orang tersebut telah banyak menyakitkan dan menyusahkan kita selama hidupnya. Lupakanlah semua yang telah berlaku. Maafkanlah mereka. Hari ini kita berdoa untuk mereka, esok lusa orang lain pula yang mendoakan kita tatkala kita telah pergi. Janganlah kita mengajar diri kita untuk menjadi seorang yang kedekut dalam berdoa. Kalau doa pun kita sudah kedekut, apatah lagi harta. Astaghfirullah. Ingatlah, ‘doa itu senjata orang mukmin’.
Sekian, Assalamualaikum...

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Pengampun. Aku ini hambaMu yang hina, telah banyak aku melakukan dosa selama hidupku. Aku mohon hanya kepadaMu, ampunilah segala dosaku selama hidupku ini. Ampunkan juga dosa kedua-dua ibubapaku, ahli keluargaku, saudara-maraku, guru-guruku yang selama ini telah banyak mendidik aku, jiran  tetanggaku, rakan-rakanku dan juga seluruh umat Islam di dunia ini termasuklah yang telah Kau panggil menghadapMu. Ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah. Kepadamu juga aku memohon Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta, Yang Maha Berkuasa ke atas seluruh isi alam, Kau permudahkanlah mati kami, ringankanlah azab yang bakal kami lalui setelah kami mati, dan Kau matikanlah kami dalam keadaan iman dan Islam. Aku mohon Ya Allah, Kau lindungilah kami dari azab api neraka. Kau bukakanlah kepada kami seluas-luasnya pintu syurga dan Kau tutupkanlah pintu neraka serapat-rapatnya. Kadang-kadang, aku malu kepadaMu Ya Allah. Bermacam-macam aku meminta daripadaMu, aku tidak layak sebenarnya. Tapi, aku takut denganMu Ya Allah, aku takut dengan balasanMu kepadaku. Aku takut pada seksa kubur. Aku juga takut pada azab api neraka. Ya Allah, Kau lindungilah aku dan juga seluruh hamba-hambaMu. Amin Ya Rabbal A’lamin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan