Powered By Blogger

Jumaat, 17 Februari 2012

Apa makna anak bagi ibu bapa?

Assalamualaikum wahai ibu dan bapa. Macam mana ibu bapa, begitulah anak-anaknya. Macam mana kita, begitulah anak-anak kita. Baru sahaja beberapa minit lepas, di depan mata saya, seorang ibu menonjol kepala seorang anak. Sedih rasanya hati saya melihat si ibu sanggup melakukannya. Saya nak menegur terasa serba-salah. Tidak pernah terfikir ke si ibu akan kesan kepada perlakuannya. Hari ini dia tonjol kepala anaknya, esok lusa, anaknya pula akan menonjol kepala cucunya.
Anak ibarat anugerah dan juga amanah yang telah Allah SWT kirimkan untuk kita sebagai ibu bapa mencorak, membentuk dan mendidik anak itu sebaik mungkin. Tapi, apa yang saya perhatikan sekarang, ibu bapa seolah-olah tidak faham akan tanggungjawab mereka. Atau pun mereka saja buat-buat tidak faham. Apa yang saya boleh katakan di sini mungkin mereka kurang ilmu baik dari segi agama ataupun psikologi dan apa sahaja yang bersangkut-paut mengenai didikan anak-anak. Tidak perlu kita untuk menyalahkan anak itu sendiri atau rakan anak itu ataupun guru-gurunya jika suatu hari nanti anak itu gagal dalam hidup. Tidak perlu juga untuk menyalahkan benih pasangan kita jika anak itu tergelincir dari landasan hidup. Di hari perhitungan kelak, Allah akan menyoal bagaimana kita mendidik anak-anak. Apa kita sebagai ibu bapa untuk menjawab? Tidak pernah terfikirkah kita? Jika anak-anak kita hari ini ada yang bergelumang dengan najis dadah, ada juga yang terjebak dengan kancah pergaulan bebas, ada pula yang terjerumus ke dalam gaung penzinaan dan akhirnya, di akhirat kelak pastinya kawah neraka yang akan menjemput anak-anak kita. Sanggupkah kita melihat anak-anak kita terkapai-kapai tangan mereka meminta tolong di akhirat kelak? Jadi, sementara anak-anak kita masih lagi muda, masih lagi mentah, masih lagi hingusan, masih lagi boleh dilentur, masih lagi boleh dibentuk, maka didiklah mereka, bagilah sebaik mungkin didikan yang mereka perlu, tunjuklah mereka contoh yang terbaik, supaya mereka sedar, supaya mereka tahu, bagaimana dan kenapa mereka dilahirkan. Biar mereka tidak lagi buta...tidak lagi pekak...tidak lagi bisu dek kejahilan dunia yang mengelilingi mereka.
Saya bukannya seorang ibu, saya bukan juga seorang ‘motivator’, malah bukan juga seorang ilmuwan, saya cuma seorang anak yang masih lagi belajar bagaimana untuk hidup yang juga secara langsung bertindak sebagai pemerhati. Saya juga sedar, ilmu saya tidaklah setinggi gunung kinabalu, fikiran saya juga tidak seluas lautan biru, tapi, saya merasakan saya juga berhak bercakap mengenai isu ini. Saya bukannya sesiapa dalam hidup kalian, saya juga tidak mampu untuk mengubah persepsi semua orang, tapi, apa yang saya boleh harapkan, ialah agar ibu bapa sama-sama celik mata, celik jiwa, celik hati...sadarlah kalian daripada tidur kalian yang selama ini membuai kalian. Sadarlah yang kalian punya amanah yang besar yang telah dikirimkan oleh Allah SWT untuk anda laksanakan. Apa amanah itu? Tidak lain dan tidak bukan, anak-anak kalianlah. Fikirlah, hidup kita semakin hari semakin singkat, tatkala Allah SWT memanggil kita, kita nak siapa yang memandikan kita? Siapa yang mengafankan kita? Siapa yang mengebumikan kita? Siapa yang mendoakan kita? Kalian sebagai ibu bapa seharusnya memikirkan persoalan itu.
Kadang-kadang, saya fikir ibu bapa perlu menolak ego mereka ke tepi. Bukannya apa, saya rasa anak-anak gagal dibentuk kerana salah ibu bapa sendiri. Mereka terlampau ego dan merasakan anak-anak patut tunduk pada mereka dan mengikut telunjuk mereka. Mereka mahu anak-anak sentiasa berada dalam cengkaman mereka. Anda sebagai ibu bapa perlu sedar, cengkaman tangan anda itu bakal merosakkan dan memusnahkan hidup anak-anak anda. Bagi saya, anak-anak juga punya hak mereka. Mereka harus di berikan peluang untuk memilih. Jangan kita sebagai ibu bapa untuk membuat pilihan bagi anak-anak. Anak-anak sebenarnya mempunyai pandangan dan juga kadang-kadang ilmu mereka lebih tinggi daripada ibu bapa mereka. Jadi, apa salahnya ibu bapa mengalah dengan anak-anak. Tidak salah rasanya kita sebagai ibu bapa meluangkan sedikit masa untuk memikir dan mempertimbang sebaik mungkin pendapat anak-anak. Tidak salah juga rasanya jika ibu bapa memohon maaf kepada anak-anak. Takkan sesekali jatuh maruah ibu bapa, tidak mungkin pudar rasa hormat anak itu kepada ibu bapa dan pastinya tidak luntur rasa sayang anak terhadap ibu bapa jika ibu bapa sendiri yang mengalah dan memohon maaf. Malah, anak-anak akan merasakan diri mereka lebih dihargai. Jangan sesekali membiarkan anak-anak sahaja yang memohon maaf kepada ibu bapa. Jika anda senang untuk mengungkapkan perkataan ‘maaf’ di hadapan anak-anak, pastinya mereka juga begitu. Sebelum kalian melembutkan lidah anak-anak kalian, lembutkanlah lidah kalian terlebih dahulu. Ketepikanlah ego kalian, wahai ibu bapa. Demi kebahagiaan dan kejayaan anak-anak, tidak salah untuk kalian mengalah. Ingatlah, mengalah tidak bererti kalah.

                                 Sekian, Assalamualaikum.....


Ya Allah, Tuhan Yang Yang Maha Pengampun, Kau ampunilah dosa ibu bapaku dan juga dosa-dosa seluruh manusia yang bergelar ibu bapa di muka bumi ini. Berilah mereka petunjuk dan hidayahMu agar mereka sedar, agar mereka tidak lupa akan tanggungjawab dan amanah yang telah Engkau berikan kepada mereka terhadap kami sebagai anak-anak mereka. Aku pohon kepadaMu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Kau golongkanlah kami dalam golongan anak-anak yang soleh dan solehah untuk ibu bapa kami, Kau golongkan ibu bapa kami dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan jika suatu hari nanti, kami pula yang akan bergelar ibu bapa, maka kau mantapkanlah keimanan dan kesabaran kami dalam mendidik amanah yang telah Engkau berikan. Lindungilah anak-anak kami dan juga seluruh keturunan kami daripada godaan syaitan dan azab api neraka. Amin Ya Rabbal A’lamin.....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan